Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengamalkan Kesepakatan antara Agama?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengamalkan Kesepakatan antara Agama?

 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kami gemar membincangkan hal-hal tentang kepercayaan dengan orang daripada pelbagai agama, tetapi kami tidak mengamalkan kesepakatan antara agama. Maksudnya, kami tidak beribadat bersama orang yang mempunyai kepercayaan yang lain. Menurut Bible, Kristian sejati seharusnya “seia sekata,” iaitu mereka perlu bersatu padu dalam kepercayaan. (1 Korintus 1:​10; Efesus 4:​16; Filipi 2:2) Maka tidaklah cukup untuk bersetuju bahawa kita perlu menunjukkan sifat-sifat seperti kasih, belas kasihan, dan sikap rela mengampuni. Sebaliknya, kepercayaan kami berdasarkan pengetahuan yang tepat daripada Bible, dan tanpanya kepercayaan kami sia-sia sahaja.—Roma 10:​2, 3.

 Dalam Bible, menjalankan ibadat bersama orang daripada kepercayaan lain bagaikan memikul kuk yang tidak seimbang. Amalan sedemikian akan menjejaskan iman seorang Kristian. (2 Korintus 6:​14-​17) Jadi Yesus tidak membenarkan pengikut-pengikutnya mengamalkan kesepakatan antara agama. (Matius 12:30; Yohanes 14:6) Melalui Hukum Musa, Tuhan juga melarang orang Israel kuno menyertai ibadat jiran-jiran mereka. (Keluaran 34:11-​14) Maka orang Israel yang setia menolak bantuan daripada bangsa lain, kerana mereka tidak mahu membentuk persekutuan keagamaan dengan orang yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.​—Ezra 4:​1-3.

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa sudi bercakap dengan orang yang menganut agama yang lain?

 Ya. Seperti Rasul Paulus, kami ingin memahami fikiran dan kepercayaan “seberapa banyak orang yang mungkin.” (1 Korintus 9:19-22) Kami berusaha menerapkan nasihat Bible untuk menunjukkan “hormat yang mendalam” semasa berbual dengan orang lain.​—1 Petrus 3:​15.