Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara untuk Berpuas Hati

Cara untuk Berpuas Hati

Tidak kira kita bujang atau sudah berkahwin, tua atau muda, kita semua ingin berasa gembira dan berpuas hati. Pencipta kita juga mahu kita berasa demikian. Jadi, Dia telah memberi kita nasihat yang terbaik.

Bekerja dengan Rajin

“Dia harus bekerja dengan rajin dan melakukan kerja yang baik dengan tangannya, supaya dia dapat memberikan sesuatu kepada orang yang berkekurangan.”​—EFESUS 4:28.

Pencipta kita menggalakkan kita untuk berpandangan positif terhadap kerja. Mengapa? Seseorang yang rajin dapat berasa gembira kerana dia dapat menyediakan keperluan untuk dirinya dan keluarganya, serta menghulurkan bantuan kepada orang lain. Majikannya juga akan menghargainya kerana dia seorang pekerja yang baik, dan besar kemungkinan dia tidak akan dibuang kerja. Ayat Suci jelas menyatakan bahawa ganjaran daripada kerja keras merupakan “pemberian daripada Tuhan.”​—Pengkhutbah 3:13.

Bersikap Jujur

“Kami percaya bahawa hati nurani kami murni, dan kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”​—IBRANI 13:18.

Jika kita bersikap jujur, kita akan mempunyai harga diri, menikmati ketenangan jiwa, dan dapat tidur dengan nyenyak pada waktu malam. Tambahan lagi, orang lain akan mempercayai dan menghormati kita. Namun, orang yang tidak jujur tidak akan menikmati hal-hal baik yang disebut tadi. Hati nurani mereka akan terganggu, dan mereka akan hidup dalam ketakutan kerana risau perbuatan jahat mereka akan diketahui orang.

Mempunyai Pandangan yang Seimbang terhadap Wang

“Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang. Sebaliknya hendaklah kamu berpuas hati dengan apa yang kamu miliki.”​—IBRANI 13:5.

Kita memerlukan wang untuk membeli makanan dan keperluan lain. Namun, sikap “cinta akan wang” sangat berbahaya kerana akan menyebabkan seseorang menggunakan banyak masa dan tenaga untuk mencari lebih banyak wang. Akibatnya, perkahwinannya, hubungannya dengan anak-anaknya, dan juga kesihatannya, akan terjejas. (1 Timotius 6:9, 10) Bukan itu sahaja, orang yang mencintai wang juga mungkin digoda untuk tidak bersikap jujur. Seorang lelaki yang bijak berkata, “Orang yang setia akan mendapat berkat yang melimpah, tetapi orang yang ingin cepat kaya pasti akan melakukan kesalahan.”​—Amsal 28:20.

Memilih Pendidikan yang Terbaik

“Janganlah lepaskan hikmat dan pengertian.”​—AMSAL 3:21.

Pendidikan yang baik membantu kita menjadi orang dewasa dan ibu bapa yang bertanggungjawab. Namun, pendidikan yang ditawarkan oleh dunia tidak dapat menjamin bahawa kita akan berasa gembira dan sentiasa mendapat semua keperluan. Untuk berjaya dalam segala hal yang kita lakukan, kita memerlukan pendidikan daripada Tuhan. Mengenai orang yang mendengar nasihat Tuhan, Ayat Suci menyatakan, “Dia akan berjaya dalam segala usahanya.”​—Mazmur 1:1-3.