Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Ajaran yang Membawa Harapan

Ajaran yang Membawa Harapan

Tuhan menjanjikan perubahan yang menakjubkan pada masa depan. Dia akan melenyapkan penderitaan dan memberi manusia kehidupan yang bahagia di bumi. (Mazmur 37:11) Mengapakah kita boleh mempercayai janji ini? Hal ini kerana “Tuhan bukan seperti manusia yang berdusta.” (Bilangan 23:19) Perhatikan beberapa perkara baik yang akan dilakukan oleh Pencipta kita.

Tuhan Akan Membinasakan Orang Jahat

“Meskipun orang jahat tumbuh subur seperti lalang dan semua orang yang melakukan kejahatan hidup makmur, akhirnya mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.”​—MAZMUR 92:7.

Seperti yang kita pelajari dalam rencana sebelumnya, kita melihat semakin banyak perkara jahat berlaku. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible sudah menyatakan di 2 Timotius 3:1-5 bahawa “pada hari-hari terakhir,” manusia akan semakin jahat. Apakah yang dimaksudkan dengan “hari-hari terakhir”? Maksudnya tidak lama lagi, Tuhan akan membinasakan orang jahat yang tidak mahu bertaubat, dan hanya orang yang mentaati Tuhan akan hidup di bumi. “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”​—Mazmur 37:29.

Tuhan Akan Membinasakan Syaitan

“Tuhan yang memberikan kedamaian akan menghancurkan Syaitan.”​—ROMA 16:20.

Apabila Syaitan, roh-roh jahat, dan semua orang jahat dibinasakan, bumi akan menjadi aman. Pencipta kita berjanji, “Tidak ada sesiapa yang akan membuat [anda] berasa takut.”​—Mikha 4:4.

Tuhan Akan Melenyapkan Penyakit dan Kematian

“Khemah Tuhan ada bersama manusia . . . Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​—WAHYU 21:3, 4.

Penderitaan, penyakit, dan bahkan kematian, akan berakhir kerana Tuhan akan menghilangkan kesan buruk yang diakibatkan oleh Syaitan, Adam, Hawa, dan ketidaksempurnaan diri kita. Manusia yang mengasihi dan mentaati Pencipta akan hidup selama-lamanya. Namun, di manakah mereka akan tinggal?

Pencipta Kita Akan Menjadikan Bumi Sebuah Firdaus

“Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”​—YESAYA 35:1.

Apabila Tuhan mengakhiri kejahatan, bumi akan menjadi sebuah Firdaus! Pada masa itu, bumi akan dipenuhi dengan taman-taman yang cantik, dan bumi juga akan menghasilkan makanan yang berlimpah-limpah. (Mazmur 72:16) Laut, tasik, dan sungai, akan menjadi bersih dan penuh dengan hidupan. Perkataan “pencemaran” mungkin tidak akan disebut sama sekali! Orang akan membina rumah dan mendiaminya. Tiada lagi orang yang hidup miskin. Sebaliknya, semua orang akan mempunyai tempat tinggal dan makanan yang mencukupi.​—Yesaya 65:21, 22.

Tuhan Akan Membangkitkan Orang Mati

“Tuhan akan membangkitkan orang.”​—KISAH 24:15.

Adakah anda ingin berjumpa semula dengan orang tersayang yang sudah meninggal? Tuhan Yang Maha Kuasa akan membangkitkan mereka di bumi firdaus. Anda akan mengenali mereka, dan mereka akan mengenali anda. Bayangkan sukacita yang akan anda nikmati bersama mereka! Mengapakah kita dapat yakin akan harapan ini? Bible mengandungi contoh tentang orang dewasa dan kanak-kanak yang telah dibangkitkan dan kembali ke pangkuan keluarga mereka. Selain itu, semasa Yesus membangkitkan orang mati, ramai orang menyaksikannya.​—Lukas 8:49-56; Yohanes 11:11-14, 38-44.