Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Kita Menjadi Tua dan Mati?

Mengapakah Kita Menjadi Tua dan Mati?

TUHAN tidak ingin manusia mati. Nenek moyang kita, iaitu Adam dan Hawa, diciptakan dengan minda dan tubuh yang sempurna dan mampu hidup sampai hari ini. Hal itu jelas dinyatakan melalui perintah Yehuwa kepada Adam mengenai sebatang pokok di Taman Eden.

Tuhan memberitahu Adam bahawa jika dia memakan buah daripada pokok itu, dia pasti akan mati. (Kejadian 2:17) Seandainya Adam diciptakan untuk menjadi tua dan mati, Tuhan tidak perlu memberinya perintah tersebut. Jelaslah, Adam tahu bahawa jika dia tidak memakan buah daripada pokok itu, dia tidak akan mati.

TUHAN TIDAK INGIN MANUSIA MATI

Adam dan Hawa tidak akan kelaparan jika mereka tidak makan buah daripada pokok itu, kerana terdapat banyak pokok buah yang lain di Taman Eden. (Kejadian 2:9) Dengan mematuhi larangan Tuhan, Adam dan Hawa akan menunjukkan bahawa mereka taat kepada Tuhan yang memberi mereka nyawa dan mengakui hak-Nya untuk menentukan haluan hidup mereka.

SEBABNYA ADAM DAN HAWA MATI

Untuk memahami sebabnya Adam dan Hawa mati, kita perlu meneliti satu perbualan yang telah mempengaruhi segenap umat manusia. Melalui seekor ular, Syaitan Si Iblis telah mengucapkan satu dusta yang besar. Bible menyatakan, “Ular ialah binatang yang paling berhati-hati antara semua binatang liar yang diciptakan oleh Tuhan Yehuwa. Ular berkata kepada wanita itu, ‘Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?’”​—Kejadian 3:1.

Hawa menjawab, “Kami boleh makan buah daripada semua pokok di taman ini, kecuali pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan telah berfirman, ‘Kamu dilarang memakan buahnya ataupun menyentuhnya. Jika tidak, kamu akan mati.’” Kemudian ular itu berkata, “Kamu pasti tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka. Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” Dengan berkata demikian, Syaitan menuduh bahawa Yehuwa telah menipu nenek moyang kita dan tidak memberi mereka sesuatu yang baik.​—Kejadian 3:2-5.

Hawa mempercayai kata-kata ular itu. Dia melihat betapa cantiknya pokok itu dan semakin menginginkannya. Maka dia menghulurkan tangannya, memetik buah pokok itu, lalu mula memakannya. Bible menyatakan, “Apabila dia bersama-sama suaminya, dia juga memberikan buah itu kepadanya, dan suaminya pun memakannya.”​—Kejadian 3:6.

Tuhan memberitahu Adam, “Jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.”​—KEJADIAN 2:17

Tuhan pasti hancur hati semasa melihat anak-anak-Nya sengaja mengingkari-Nya. Apakah tindakan yang diambil-Nya? Yehuwa berfirman kepada Adam, “Engkau akan . . . kembali ke tanah, kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Kejadian 3:17-19) Itulah yang terjadi. “Adam hidup selama 930 tahun, lalu dia meninggal.” (Kejadian 5:5) Selepas Adam mati, dia tidak pergi ke syurga atau menjadi roh. Sebelum Yehuwa mengambil tanah untuk menciptakan Adam, Adam tidak wujud. Maka selepas dia meninggal, dia kembali menjadi tanah yang tidak bernyawa dan tidak wujud lagi. Alangkah sedihnya kesudahan Adam!

SEBABNYA KITA TIDAK SEMPURNA

Oleh sebab Adam dan Hawa sengaja melanggar perintah Tuhan, mereka berdosa lalu kehilangan tubuh yang sempurna dan peluang untuk hidup selama-lamanya. Namun, dosa mereka bukan sahaja mempengaruhi mereka, malah diturunkan kepada anak cucu mereka. Roma 5:12 menyatakan, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.”

Sesungguhnya, “semua orang mati kerana Adam.” (1 Korintus 15:22) Bible menggambarkan dosa dan kematian sebagai “selubung yang menutupi segala bangsa.” (Yesaya 25:7) Dosa dan kematian telah menyelubungi umat manusia seperti jerebu beracun, dan tiada seorang pun yang dapat melarikan diri. Namun, persoalannya, seperti yang ditanyakan oleh Paulus, ialah: “Siapakah yang akan menyelamatkan aku daripada tubuh yang akan mati ini?”​—Roma 7:24.