Lompat ke kandungan

Pernahkah Manusia Melihat Tuhan?

Pernahkah Manusia Melihat Tuhan?

Jawapan Bible

 Tiada manusia yang pernah melihat Tuhan. (Keluaran 33:20; Yohanes 1:​18; 1 Yohanes 4:​12) Bible menyatakan bahawa “Tuhan ialah Roh.” Roh ialah makhluk hidup yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia.​—Yohanes 4:​24; 1 Timotius 1:​17.

 Tetapi malaikat dapat melihat Tuhan kerana malaikat ialah makhluk roh. (Matius 18:10) Selain itu, sekumpulan manusia yang telah mati akan dibangkitkan ke syurga sebagai makhluk roh dan dapat melihat Tuhan secara harfiah.​—Filipi 3:​20, 21; 1 Yohanes 3:2.

Bagaimana kita dapat “melihat” Tuhan sekarang

 Dalam Bible, perkataan “melihat” biasanya digunakan secara kiasan untuk membawa erti memahami. (Yesaya 6:​10; Yeremia 5:​21; Yohanes 9:​39-​41) Oleh itu, seseorang yang beriman kepada Tuhan dan mengenali keperibadian-Nya dikatakan dapat “melihat” Tuhan dengan ‘mata hatinya.’ (Efesus 1:​18) Bible mengajar kita cara untuk membina iman sedemikian.

  •   Dengan memerhatikan ciptaan Tuhan, kita dapat mengenali keperibadian Tuhan, seperti sifat kasih, kemurahan hati, kebijaksanaan, dan kuasa-Nya. (Roma 1:​20) Selepas Ayub, seorang lelaki yang beriman, memerhatikan ciptaan Tuhan, dia berasa bahawa dia seolah-olah melihat Tuhan.​—Ayub 42:5.

  •   Dengan mempelajari Bible, kita dapat mengenali Tuhan. Itulah sebabnya Bible menggalakkan kita untuk ‘mencari Tuhan, dan Dia akan membiarkan diri-Nya ditemukan olehmu.’​—1 Tawarikh 28:9; Mazmur 119:2; Yohanes 17:3.

  •   Dengan mengkaji kehidupan Yesus, kita dapat mengenali Tuhan. Memandangkan Yesus dapat mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna, dia dapat berkata, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.”​—Yohanes 14:9.

  •   Apabila kita hidup selaras dengan hukum Tuhan, kita dapat melihat bagaimana Dia memberkati kita. Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang berhati murni, kerana mereka akan melihat Tuhan.” Selain itu, seperti yang dinyatakan sebelum ini, sekumpulan orang yang menyenangkan hati Tuhan akan dibangkitkan ke syurga dan dapat “melihat Tuhan” secara harfiah.​—Matius 5:8; Mazmur 11:7.

Bukankah Musa, Abraham, dan orang lain pernah melihat Tuhan?

 Sesetengah catatan Bible seolah-olah menunjukkan bahawa manusia pernah melihat Tuhan secara harfiah. Tetapi konteks catatan-catatan itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya melihat malaikat yang mewakili Tuhan, atau mereka melihat Tuhan menerusi suatu penglihatan.

Malaikat.

Pada zaman kuno, Tuhan mengutus malaikat sebagai wakil-Nya untuk menyampaikan firman-Nya kepada manusia. (Mazmur 103:20) Misalnya, Tuhan pernah bercakap kepada Musa dari tengah-tengah pokok kecil yang bernyala, dan Bible menyatakan bahawa “Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Tuhan yang benar.” (Keluaran 3:​4, 6) Tetapi Musa sebenarnya tidak melihat Tuhan secara harfiah kerana konteks ayat itu menunjukkan bahawa Musa sebenarnya telah melihat “malaikat Yehuwa.”​—Keluaran 3:2.

 Begitu juga, apabila Bible menyatakan bahawa Tuhan “berfirman kepada Musa secara bersemuka,” hal itu bererti bahawa Tuhan bercakap kepada Musa seperti bercakap kepada seorang kawan akrab. (Keluaran 4:​10, 11; 33:11) Musa sebenarnya tidak melihat muka Tuhan kerana perkhabaran yang diterimanya daripada Tuhan “disampaikan oleh malaikat.” (Kisah 7:​53; Galatia 3:​19) Biarpun begitu, iman Musa kepada Tuhan begitu kuat sehingga Bible menyatakan bahawa Musa ‘seolah-olah dapat melihat Tuhan yang tidak kelihatan.’​—Ibrani 11:27.

 Tuhan juga bercakap kepada Abraham dalam cara yang sama, iaitu melalui malaikat. Sememangnya apabila kita membaca ayat-ayat Bible secara sepintas lalu, kita mungkin berasa bahawa Abraham betul-betul melihat Tuhan secara harfiah. (Kejadian 18:​1, 33) Tetapi konteks ayat-ayat itu menunjukkan bahawa “tiga orang lelaki” yang datang melawat Abraham sebenarnya ialah para malaikat yang diutus Tuhan. Abraham sedar bahawa malaikat-malaikat itu mewakili Tuhan, maka dia bercakap kepada mereka seolah-olah dia sedang bercakap secara langsung kepada Tuhan.​—Kejadian 18:​2, 3, 22, 32; 19:1.

Penglihatan.

Tuhan juga menampakkan diri-Nya kepada manusia menerusi penglihatan, atau gambaran yang muncul dalam minda seseorang. Misalnya, apabila Bible menyatakan bahawa Musa dan sesetengah orang Israel “nampak Tuhan orang Israel,” mereka sebenarnya “nampak Tuhan yang benar dalam suatu penglihatan.” (Keluaran 24:​9-​11) Selain itu, Bible kadangkala menyatakan bahawa para nabi “nampak Yehuwa.” (Yesaya 6:1; Daniel 7:9; Amos 9:1) Tetapi konteks setiap catatan itu menunjukkan bahawa mereka mendapat penglihatan tentang Tuhan dan bukannya melihat Tuhan secara harfiah.​—Yesaya 1:1; Daniel 7:2; Amos 1:1.