Lompat ke kandungan

JW.ORG di Pameran Buku Toronto

JW.ORG di Pameran Buku Toronto

Pada 13 hingga 16 November 2014, Pusat Konvensyen Metro Toronto telah menganjurkan Pameran Buku Antarabangsa Toronto. Bahan yang dipamerkan termasuk buku yang dicetak atau buku elektronik. Lebih daripada 20,000 orang mengunjungi pameran tersebut yang berlangsung selama empat hari.

Saksi-Saksi Yehuwa turut menyertai pameran di sana. Mereka mempunyai ruang pameran yang interaktif dan menarik. Para pengunjung juga dapat melihat cara untuk melayari jw.org menerusi tablet-tablet yang disediakan dalam ruang pameran mereka.

Salah seorang pengurus pameran buku berkata, “Laman web kamu sangat moden. Saya rasa mereka yang menyertai pameran ini perlu belajar daripada kamu.” Para pengunjung berkata bahawa laman web jw.org sangat profesional, mudah digunakan, dan menjawab soalan-soalan yang penting. Mereka juga kagum kerana laman web itu membantu orang menangani masalah dan cabaran hidup.

Para Saksi yang menjaga ruang pameran mendapati bahawa kebanyakan daripada pengunjung tidak pernah mendengar tentang jw.org sebelum pameran ini diadakan. Hampir setiap pengunjung menerima kad jw.org atau risalah Di Manakah Jawapan bagi Soalan Penting dalam Hidup? Ramai berkata bahawa mereka akan melayari laman web itu lagi dan ada juga yang meminta untuk dikunjungi oleh Saksi-Saksi Yehuwa di rumah mereka.

Jumaat ialah “Hari Kanak-Kanak” di pameran ini. Jadi para Saksi menunjukkan animasi papan putih daripada jw.org. Banyak pelajar sekolah bersama guru-guru mereka berhenti untuk melihat animasi tersebut.

Seorang lelaki dari Chicago yang bekerja di syarikat yang mencetak Bible kagum dengan mutu Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru yang dipamerkan. Dia berminat untuk menghubungi bahagian percetakan yang mencetak Bible ini. Jadi para Saksi memberinya kad jw.org.

Antara lebih daripada 700 bahasa yang terdapat di jw.org, para pengunjung telah melayari laman web dalam 16 bahasa ini: Bahasa Amhara, Benggali, Cina, Greek, Gujarati, Hindi, Inggeris, Korea, Perancis, Portugal, Sepanyol, Sweden, Tamil, Tigrinya, Urdu, dan Vietnam.

Seorang Saksi mendapati bahawa menunjukkan laman web jw.org lebih berkesan daripada sekadar memberitahu para pengunjung tentangnya. Dia berkata, “Pameran ini memberikan peluang yang baik kepada kami untuk memperkenalkan jw.org.”