Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CAMILLA ROSAM | KISAH HIDUP

Saya Bermatlamat untuk Mentaati Yehuwa

Saya Bermatlamat untuk Mentaati Yehuwa

 Datuk dan nenek saya belajar tentang janji-janji Kerajaan Yehuwa pada 1906, selepas anak lelaki mereka mati akibat penyakit difteria. Doktor mereka ialah seorang Pelajar Bible, yang kini dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mengongsi harapan Bible yang melegakan kepada mereka, termasuk harapan pembangkitan. Hasilnya datuk, nenek, ibu, dan mak cik saya menjadi Pelajar Bible.

 Selama bertahun-tahun, mereka menyembah Yehuwa dengan bersemangat. Nenek, ibu, dan mak cik saya bahkan menjadi atendan untuk membantu orang mencari tempat duduk semasa “Drama-Foto Penciptaan” ditayangkan di Chicago, Illinois, di Amerika Syarikat. Tetapi sedihnya, hanya ibu yang terus menyembah Yehuwa. Hal itu tidak senang baginya kerana mereka sekeluarga sangat rapat dan telah menyembah Yehuwa bersama-sama sehingga tahun 1930-an. Kesetiaan dan ketaatan ibu kepada Yehuwa meninggalkan kesan yang besar bagi saya. Begitu juga dengan teladan ayah, yang juga merupakan seorang Pelajar Bible yang setia.

Gambar keluarga, 1948

 Saya dilahirkan pada 1927, dan merupakan anak sulung antara enam orang adik-beradik. Kami semua berpaut erat pada kebenaran. Ayah bekerja sebagai tukang kayu, dan kami tinggal di sebuah rumah yang selesa yang terletak di luar bandar Chicago. Kami ada kebun sayur yang besar, dan kami menternak ayam dan itik.

 Saya suka bekerja. Salah satu kerja saya ialah menjerumat stoking keluarga saya. Kerja ini jarang dibuat pada zaman sekarang, tetapi dahulu stoking yang berlubang tidak akan dibuang. Lubang itu akan dijerumat atau dibaiki dengan menggunakan jarum dan benang. Kemahiran ini sangat bernilai kerana belakangan saya buat banyak kerja menjahit dalam hidup saya.

Ibu Bapa Saya Menetapkan Teladan yang Baik

 Ayah saya memastikan bahawa keluarga kami tidak mengabaikan hal-hal rohani. Jadi, kami menghadiri semua perjumpaan Kristian, menginjil secara tetap, dan membincangkan sebuah ayat Bible setiap hari. Pada Sabtu malam, kami mengadakan pembelajaran keluarga dengan menggunakan Menara Pengawal.

 Ayah meletakkan papan tanda elektrik di tingkap ruang tamu supaya dapat memberikan kesaksian yang baik kepada jiran-jiran. Papan tanda itu dibuat oleh para saudara supaya dapat mengiklankan ceramah umum atau salah satu bahan bacaan kita. Lampu dalam papan tanda tu berkelip-kelip sehingga dapat menarik perhatian orang yang lalu-lalang. Ayah juga pasang dua papan tanda di kereta kami.

Ibu membawa kami menginjil menggunakan peti nyanyi

 Melalui kata-kata dan perbuatan, ayah mengajar semua anaknya tentang pentingnya untuk mentaati Yehuwa. Ibu berusaha sedaya upaya untuk menyokong ayah. Ibu juga mula berkhidmat sepenuh masa sebagai seorang perintis semasa adik bongsu saya berumur lima tahun. Dia telah merintis sepanjang hidupnya. Saya sangat bersyukur ada ibu bapa yang begitu baik.

 Hidup pada masa dulu berbeza dengan hari ini. Kami tiada TV, jadi saya dan adik-beradik akan duduk di lantai dan dengar radio yang menyiarkan beberapa rancangan yang menarik. Yang terpenting, kami sekeluarga menikmati program rohani yang disiarkan oleh organisasi Yehuwa dalam radio.

Konvensyen, Peti Nyanyi, dan Papan Tanda

 Kami suka menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa konvensyen diadakan pada 1935, kami belajar tentang “kumpulan besar manusia” yang selamat mengharungi “kesengsaraan besar,” yang disebutkan di Wahyu 7:9, 14. Mereka ada harapan untuk hidup kekal di bumi firdaus. Sebelum 1935, ibu bapa saya makan roti dan minum wain semasa Peringatan. Tetapi selepas konvensyen itu, hanya ayah yang berbuat demikian. Ibu sedar bahawa harapannya bukan memerintah bersama Kristus di syurga, tetapi hidup kekal di bumi.

 Pada 1941, di sebuah konvensyen di St. Louis, Missouri, Joseph Rutherford yang mengambil pimpinan pada masa itu, mengumumkan pengeluaran buku Children. Hadirin memberikan tepukan gemuruh! Pada masa itu, saya berumur 14 tahun dan sudah dibaptis selama setahun. Saya masih ingat dengan jelas saya beratur dengan kanak-kanak lain dan pergi ke pentas untuk ambil buku itu.

Bersama Lorraine, 1944

 Pada masa itu, kerja menginjil berbeza dengan hari ini. Pada 1930-an, kami menggunakan peti nyanyi mudah alih untuk memainkan rakaman ceramah kepada penghuni rumah. Sebelum mengetuk pintu, kami akan membuka peti nyanyi dan memastikan jarum dan piring hitam diletakkan dengan betul. Semasa penghuni rumah keluar, kami akan membuat penyampaian ringkas, memainkan rakaman ceramah Bible selama empat minit setengah, dan kemudian menawarkan bahan bacaan. Orang di kawasan kami mendengar dengan penuh hormat. Seingat saya tiada orang yang melayan kami dengan buruk. Semasa saya mula merintis pada umur 16 tahun, ayah memberi saya sebuah peti nyanyi. Saya bangga dapat menggunakannya dalam kerja menginjil. Saya merintis bersama seorang saudari yang sangat bagus bernama Lorraine.

 Satu lagi cara kami menginjil adalah dengan mengadakan perarakan. Kami akan memakai dua keping papan yang digantung pada bahu kami, satu di depan dan satu di belakang. Papan itu mengandungi slogan seperti “Agama Itu Jerat dan Dusta” dan “Berkhidmatlah kepada Tuhan dan Raja Kristus.”

Gambar semasa kesaksian perarakan

 Perjumpaan membantu kami bersedia menghadapi tentangan dan mempertahankan kebenaran. Kami memang menghadapi tentangan. Misalnya, semasa kali pertama kami menawarkan majalah di kawasan perniagaan yang sibuk, polis menahan dan membawa kami ke balai polis dengan sebuah van. Beberapa jam kemudian kami dibebaskan. Kami gembira dianiaya kerana kami mentaati Yehuwa.

Perkahwinan, Sekolah Gilead, dan Khidmat Tentera

Saya dan Eugene pada hari perkahwinan kami

 Belakangan, Lorraine memperkenalkan seorang saudara bernama Eugene Rosam kepada saya. Lorraine berjumpa dengannya semasa perhimpunan di Minneapolis, Minnesota. Eugene membesar di Key West, Florida. Semasa di sekolah menengah, dia dibuang sekolah kerana enggan menyertai acara patriotik. Dia mula merintis dengan serta-merta. Pernah sekali, dia berjumpa dengan seorang gadis yang merupakan bekas rakan kelasnya. Oleh sebab Eugene seorang pelajar cemerlang, gadis itu hairan kenapa dia dibuang sekolah. Penjelasan Eugene yang berdasarkan Bible telah mendorong dia menerima pembelajaran Bible. Dia menerima kebenaran dan menjadi saudari yang setia.

Di Key West, 1951

 Saya dan Eugene berkahwin pada 1948 dan kami mula merintis di Key West. Belakangan, kami dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-18, dan kami tamat sekolah itu pada awal 1952. Bahasa Sepanyol diajarkan dalam salah satu kelas kami, jadi kami berfikir bahawa kami akan ditugaskan sebagai mubaligh ke negara yang menuturkan bahasa itu. Tetapi hal itu tidak berlaku. Semasa kami masih di Gilead, Perang Korea tercetus dan Eugene dipanggil untuk menyertai khidmat tentera. Ini buat kami terkejut kerana sebelum ini dia telah mendapat pengecualian sebagai penginjil semasa Perang Dunia Kedua. Namun oleh sebab Eugene dipanggil lagi, kami disuruh untuk tinggal di Amerika Syarikat. Saya menangis kerana kecewa. Dua tahun kemudian, Eugene akhirnya menerima pengecualian. Kekecewaan yang kami alami mengajar kami satu hal yang penting. Apabila satu pintu peluang tertutup, Yehuwa akan buka pintu yang lain. Itulah yang dilakukan-Nya. Kami hanya perlu bersabar.

Kelas Gilead kami

Khidmat Lawatan dan kemudian Pergi ke Kanada!

 Pada 1953, selepas kami merintis di sidang bahasa Sepanyol di Tucson, Arizona, kami ditugaskan untuk melakukan kerja litar. Kami berkhidmat sebagai penyelia litar di Ohio, California, dan Bandar Raya New York. Pada 1958, kami mula melakukan kerja distrik a di California dan Oregon. Kami tinggal di rumah saudara saudari. Kemudian pada 1960, kami pergi ke Kanada. Di sana, Eugene berkhidmat sebagai pengajar bagi Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Kami tinggal di Kanada sehingga 1988.

 Salah satu kenangan indah kami semasa di Kanada adalah tentang sebuah keluarga yang saya dan seorang saudari jumpa semasa menginjil dari rumah ke rumah. Mula-mula, kami berjumpa dengan ibu itu yang bernama Gail. Dia berkata bahawa anak-anaknya sedih kerana datuk mereka meninggal. Anak-anaknya tanya, “Kenapa datuk mati?” “Datuk pergi mana?” Gail tiada jawapan. Jadi, kami mengongsi beberapa ayat Bible yang melegakan hati kepadanya.

 Pada masa itu, Eugene melawat sidang itu sebagai penyelia litar. Jadi kami hanya berada di sana untuk seminggu. Namun, saudari yang menemani saya itu mengunjungi Gail semula. Apakah hasilnya? Gail menerima kebenaran, begitu juga dengan suaminya, Bill, dan tiga orang anak lelaki mereka, iaitu Christopher, Steve, dan Patrick. Chris ialah seorang penatua di Kanada. Steve ialah pengajar bagi sekolah Bible di Palm Coast, Florida. Patrick pula ialah ahli Jawatankuasa Cawangan di Thailand. Selama bertahun-tahun, saya dan Eugene terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan mereka. Saya sangat gembira kerana dapat memainkan peranan kecil untuk membantu mereka mengenali Yehuwa!

Daripada Mengunjungi Hospital kepada Khidmat Jawatankuasa Perhubungan Hospital

 Semasa kami berada di Kanada, Yehuwa membuka peluang yang menarik dan bermakna kepada Eugene. Biar saya ceritakan.

 Bertahun-tahun dahulu, orang tidak memahami mengapa kita tidak menerima transfusi darah. Akibatnya, banyak orang percaya hal buruk tentang kita. Surat khabar di serata Kanada menerbitkan berita bahawa anak-anak Saksi mati kerana ibu bapa enggan memberi mereka transfusi darah. Suami saya berpeluang untuk menunjukkan bahawa berita sebegitu adalah salah.

 Sejurus sebelum perhimpunan antarabangsa tahun 1969 di Buffalo, New York, Eugene dan beberapa orang saudara pergi ke hospital-hospital besar di kawasan itu untuk menjelaskan bahawa sekitar 50,000 orang Saksi dari Kanada dan Amerika Syarikat akan menghadiri konvensyen itu. Jika timbulnya kecemasan perubatan, adalah baik agar para doktor memahami pendirian kita tentang darah dan sebabnya pendirian kita adalah munasabah. Para saudara mengongsi rencana-rencana tentang kaedah perubatan tanpa darah daripada bahan bacaan yang dihormati oleh para doktor. Sambutan positif doktor-doktor itu mendorong Eugene dan saudara-saudara lain untuk mengambil inisiatif melawat hospital-hospital di Kanada. Mereka juga membantu para penatua tempatan untuk menangani kecemasan perubatan dengan lebih baik.

 Secara beransur-ansur, usaha itu membuahkan hasil. Sebenarnya, usaha yang dicurahkan mereka telah menghasilkan berkat yang tidak dapat dibayangkan! Mari saya jelaskan.

Saya menikmati tugas saya di bilik menjahit

 Pada pertengahan tahun 1980-an, Eugene mendapat panggilan daripada Milton Henschel dari ibu pejabat sedunia di Brooklyn, New York. Badan Pimpinan ingin meluaskan program yang sedang dijalankan di Amerika Syarikat, iaitu memberikan maklumat kepada lebih banyak doktor. Jadi, saya dan Eugene berpindah ke Brooklyn. Pada Januari 1988, Badan Pimpinan menubuhkan sebuah bahagian yang dipanggil Khidmat Maklumat Hospital di ibu pejabat sedunia. Kemudian, suami saya dan dua lagi saudara ditugaskan untuk mengadakan seminar, pertama-tama di Amerika Syarikat dan kemudiannya di negara lain. Tidak lama kemudian, Bahagian Maklumat Hospital ditubuhkan di pelbagai cawangan dan Jawatankuasa Perhubungan Hospital ditubuhkan di banyak bandar. Saya tidak dapat bayangkan betapa banyaknya Saksi dan anak-anak mereka meraih manfaat daripada pemberian Yehuwa yang pengasih ini. Sementara Eugene mengadakan seminar dan melawat hospital-hospital, saya bekerja di Bethel tempatan, biasanya di bilik menjahit atau dapur.

Sebuah kelas Jawatankuasa Perhubungan Hospital, Jepun

Cabaran Saya yang Terbesar

 Pada 2006, saya menghadapi cabaran yang terbesar apabila Eugene yang saya cintai meninggal. Saya sangat merinduinya! Apakah yang membantu saya untuk bertabah menghadapi cabaran ini? Ada beberapa cara. Misalnya, saya terus menghampiri Yehuwa dengan berdoa dan terus membaca Bible. Saya mendengar perbincangan ayat harian di Bethel, dan saya akan membaca bab daripada Bible bagi ayat harian yang dipilih. Saya kekal sibuk dalam tugasan Bethel di Bahagian Menjahit. Saya sangat menghargai tugas ini. Sebelum ini, saya bahkan berpeluang untuk membantu membuat tirai bagi Dewan Perhimpunan di New Jersey dan New York. Sekarang saya berkhidmat di Bethel Fishkill, dan saya bantu kerja mengubah suai kain dan beberapa kerja yang kecil. b

 Bagi saya, perkara terpenting dalam hidup ialah mengasihi Yehuwa serta mentaati-Nya dan organisasi-Nya. (Ibrani 13:17; 1 Yohanes 5:3) Saya sangat gembira kerana saya dan Eugene mengutamakan hal-hal itu dalam hidup kami. Hasilnya, saya sangat yakin bahawa Yehuwa akan memberkati kami dengan kehidupan kekal di bumi firdaus, termasuk menikmati sukacita kerana dapat berjumpa satu sama lain lagi.—Yohanes 5:28, 29.

a Penyelia litar melawat saudara saudari di sidang, penyelia distrik pula melawat litar-litar dan memberikan ceramah di perhimpunan litar.

b Saudari Camilla Rosam meninggal pada Mac 2022 semasa rencana ini disediakan. Dia berumur 94.