Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Mempertahankan Kebebasan Beragama dalam Komuniti Orang Asli

Mempertahankan Kebebasan Beragama dalam Komuniti Orang Asli

1 MEI 2021

 Antara ratusan juta orang yang tinggal di Amerika Latin, terdapat jutaan orang asli yang mempunyai bahasa dan budaya tersendiri. Ramai antara mereka ialah saudara saudari kita yang juga menghargai budaya mereka. Untuk membantu orang secara rohani, mereka menterjemah dan mengedarkan bahan terbitan Saksi-Saksi Yehuwa dalam lebih daripada 130 bahasa orang asli Amerika Latin. a Namun, sesetengah antara mereka ditentang kerana memilih untuk menyembah Yehuwa dan enggan menyertai adat-adat dalam komuniti mereka yang tidak berdasarkan Bible. Bagaimanakah sumbangan anda digunakan untuk membantu mereka?

Dibantu untuk Pulang ke Rumah

 Saudara saudari kita dalam komuniti Huichol yang tinggal di pergunungan Negeri Jalisco, Mexico enggan menyertai adat agama tempatan. Mereka dengan hormat menjelaskan bahawa adat sebegini tidak selaras dengan ajaran Bible. b Tetapi hal ini membuat sesetengah orang dalam komuniti mereka marah. Pada 4 Disember 2017, sekumpulan orang yang ganas telah menyerang Saksi-Saksi dan beberapa orang lain yang bersama mereka. Kumpulan orang itu menghalau mereka daripada komuniti, memusnahkan harta milik mereka, dan mengugut untuk membunuh sesiapa sahaja yang cuba kembali.

 Selepas itu, para Saksi yang tinggal di pekan-pekan berdekatan menjaga mereka. Tetapi, apakah yang dapat dilakukan supaya mereka dapat pulang ke rumah? Seorang saudara yang bernama Agustín berkata, “Kami tidak cukup wang untuk mengupah peguam, dan kami tidak tahu mahu pergi ke mana untuk mendapatkan nasihat undang-undang.”

 Memandangkan kebebasan beragama saudara saudari kita diserang, pejabat cawangan Amerika Tengah segera mengambil tindakan. Mula-mula, mereka meminta pegawai tempatan untuk menyiasat kes itu. Kemudian, mereka mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Koordinator bagi Badan Pimpinan untuk bekerja bersama Bahagian Perundangan ibu pejabat sedunia. Mereka telah membuat tuntutan mahkamah bagi pihak saudara saudari Huichol kita, dan kes ini akhirnya sampai ke Mahkamah Tinggi Mexico.

 Kumpulan peguam yang datang dari banyak negara telah menyediakan hujah yang jelas bagi kes ini. Mereka menjelaskan bahawa sebagaimana orang lain harus menghormati budaya orang asli, komuniti orang asli sendiri juga harus menghormati dan melindungi kebebasan semua anggotanya. Semua orang mempunyai hak asasi manusia, tidak kira di mana mereka berada.

 Pada 8 Julai 2020, Mahkamah Tinggi membuat keputusan sebulat suara yang memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa. Mahkamah mengarahkan agar semua yang telah dihalau dibenarkan pulang ke komuniti mereka. Agustín, yang disebut tadi, meluahkan penghargaan yang dirasai dirinya dan orang lain: “Kami sangat bersyukur dan gembira atas apa yang telah dilakukan para saudara bagi kami. Kami tidak mungkin dapat buat apa-apa tanpa bantuan mereka.”

“Melakukan Begitu Banyak Perkara untuk Begitu Sedikit Orang”

 Pada masa yang sama, saudara saudari kita di kampung San Juan de Ilumán menghadapi tentangan yang serupa. Kampung ini terletak di Ecuador, dan merupakan tempat tinggal banyak orang asli di Lembah Otavalo. Pada 2014, mereka mula membina Dewan Perjumpaan setelah mendapat kelulusan. Namun, seorang pemimpin agama telah mengetuai lebih daripada 100 orang untuk menghentikan pembinaan Dewan Perjumpaan itu. Kemudian, komuniti mereka mengarahkan agar para Saksi berhenti mengadakan perjumpaan.

 Bahagian-bahagian perundangan di pejabat cawangan Ecuador dan ibu pejabat sedunia bekerjasama untuk mempertahankan kebebasan beragama saudara saudari kita. Mereka telah membawa kes ini ke mahkamah. Hasilnya, komuniti orang asli itu berhenti menentang saudara saudari kita, dan membenarkan mereka untuk kembali mengadakan perjumpaan dan menghabiskan pembinaan Dewan Perjumpaan. Namun untuk melindungi hak saudara saudari kita pada masa depan, wakil perundangan kita telah meminta agar mahkamah membuat keputusan mengenai isu yang sangat penting ini: Perlukah komuniti orang asli menghormati hak asasi manusia antarabangsa?

 Pada 16 Julai 2020, mahkamah tertinggi di Ecuador, iaitu Mahkamah Perlembagaan Ecuador, mendengarkan kes itu. Para saudara yang merupakan peguam di Ecuador telah mewakili sidang itu. Selain itu, empat orang saudara yang juga merupakan peguam antarabangsa yang berpengalaman telah berucap di hadapan mahkamah. Tetapi kerana sekatan pergerakan COVID-19, mereka telah berucap dari negara masing-masing melalui persidangan video. Inilah kali pertama sesebuah mahkamah membenarkan wakil perundangan sedunia Saksi-Saksi Yehuwa untuk menyampaikan hujah melalui cara sebegini. c Kumpulan peguam itu telah memetik piawaian undang-undang antarabangsa yang mengesahkan bahawa individu orang asli tidak perlu melepaskan hak asasi mereka, hanya semata-mata kerana mereka sebahagian daripada komuniti orang asli.

Melalui persidangan video, sekumpulan peguam antarabangsa mempertahankan hak saudara saudari kita

 Saudara saudari kita di Lembah Otavalo sedang menantikan keputusan Mahkamah Perlembagaan. Pada masa yang sama, mereka terharu dengan bantuan yang diterima mereka. Seorang penatua di Sidang Ilumán Quichua yang bernama César berkata, “Hanya Yehuwa sahaja, menerusi organisasi-Nya, akan melakukan begitu banyak perkara untuk begitu sedikit orang.”

 Semua peguam yang terlibat dalam kes ini ialah Saksi-Saksi Yehuwa, dan mereka gembira mengongsi kepakaran mereka secara percuma. Namun, banyak wang dan masa diperlukan untuk membuat tuntutan mahkamah, bersedia untuk perbicaraan, dan mengemukakan kes di mahkamah. Untuk perbicaraan di Mexico, saudara-saudara kita telah menghabiskan lebih daripada 380 jam untuk menyediakan hujah, dan 240 jam lagi untuk menterjemahkan dokumen-dokumen. Di Ecuador pula, hampir 40 peguam dari serata dunia telah menghabiskan ratusan jam untuk kes itu. Bagaimanakah kita membiayai kos yang terlibat dalam mempertahankan saudara saudari kita? Menerusi sumbangan yang anda berikan menggunakan pelbagai cara di donate.isa4310.com. Terima kasih atas kemurahan hati anda.

a Saksi-Saksi Yehuwa juga menterjemah bahan terbitan ke dalam banyak bahasa Amerika Latin yang lain dan juga beberapa bahasa isyarat tempatan.

b Orang Huichol juga dikenali sebagai orang Wixáritari, dan bahasa mereka dipanggil bahasa Wixárika.

c Walaupun organisasi sedunia kita bukan sebahagian daripada kes ini, para hakim telah membenarkan saudara-saudara kita untuk berucap di hadapan mahkamah sebagai amicus curiae, yang bermaksud “rakan kepada mahkamah.”