Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat—Di Filipina

Mereka Rela Berkhidmat—Di Filipina

HAMPIR sepuluh tahun yang lalu, Gregorio dan Marilou, sepasang suami isteri yang berumur 30-an, berkhidmat sebagai perintis di Manila. Meskipun perlu merintis sambil bekerja sepenuh masa, mereka masih dapat menanganinya. Kemudian, Marilou dinaikkan pangkat menjadi pengurus bank. “Kami ada kerja yang baik dan kehidupan yang amat selesa,” kata Marilou. Keadaan kewangan mereka begitu baik sehingga mereka memutuskan untuk membina sebuah rumah impian di lokasi utama yang terletak kira-kira 19 km dari timur Manila. Mereka mengikat kontrak dengan pemaju perumahan dan mengatur untuk membayar projek itu secara ansuran dalam masa sepuluh tahun.

“SAYA SEOLAH-OLAH MEROMPAK YEHUWA”

Marilou berkata, “Kerja baru saya menelan begitu banyak masa dan tenaga sehingga saya tiada selera untuk aktiviti rohani. Saya seolah-olah merompak Yehuwa.” Dia menjelaskan, “Saya tidak dapat memenuhi pembaktian saya untuk meluangkan masa dalam khidmat Yehuwa.” Dengan sedih, Gregorio dan Marilou berbincang tentang hala tuju hidup mereka. Gregorio berkata, “Kami ingin membuat perubahan, tetapi tidak tahu apa yang patut dilakukan. Memandangkan kami tidak mempunyai anak, kami membincangkan cara untuk lebih bergiat dalam khidmat Yehuwa. Kami berdoa kepada-Nya meminta bimbingan.”

Pada masa itu, mereka mendengar ceramah tentang berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan penyiar. “Kami berasa bahawa Yehuwa sedang menjawab doa kami,” kata Gregorio. Mereka berdoa supaya lebih beriman dan berani membuat keputusan yang betul. Satu halangan yang besar ialah projek pembinaan rumah. Mereka telah membayar ansuran selama tiga tahun. Apa yang harus mereka lakukan? Marilou berkata, “Jika kami membatalkan kontrak, kami akan kerugian—jumlah wang yang amat besar. Tetapi, kami perlu memilih antara mengutamakan kehendak Yehuwa atau keinginan sendiri.” Mengingati kata-kata Paulus untuk “meninggalkan segala perkara,” mereka membatalkan projek pembinaan rumah, berhenti kerja, menjual harta, dan berpindah ke sebuah kampung terpencil di pulau Pahlawan, yang terletak kira-kira 480 km dari selatan Manila.—Flp. 3:8.

MEREKA “MENGETAHUI RAHSIANYA”

Sebelum berpindah, Gregorio dan Marilou cuba menyederhanakan hidup. Tetapi mereka tidak sedar betapa ringkasnya kehidupan di sana. “Saya terkejut,” kata Marilou. “Tiada elektrik, dan tiada kemudahan. Daripada menggunakan periuk nasi elektrik, kami perlu memotong kayu dan memasak nasi di atas api. Saya rindukan pusat membeli belah, makan di restoran, dan kehidupan di bandar.” Pasangan ini selalu mengingatkan diri tentang sebab mereka berpindah. Tidak lama kemudian, mereka dapat menyesuaikan diri. Marilou berkata, “Sekarang saya suka memerhatikan keindahan alam, termasuk bintang yang bersinar pada malam hari. Saya paling suka melihat senyuman orang semasa kami menginjil kepada mereka. Dengan berkhidmat di sini, kami telah ‘mengetahui rahsia’ untuk berpuas hati.”—Flp. 4:12.

“Kemajuan rohani yang dilihat membawa sukacita yang tiada tolok bandingnya. Kini, kehidupan kami lebih bermakna.”​—Gregorio dan Marilou

Gregorio menceritakan, “Semasa kami tiba di sini, hanya ada empat orang Saksi. Mereka sangat gembira apabila saya mula memberikan ceramah umum setiap minggu dan memainkan gitar saya untuk mengiringi nyanyian lagu teokratik.” Dalam masa setahun, Gregorio dan Marilou menyaksikan bilangan penyiar dalam sidang kecil itu bertambah sehingga 24 orang. Gregorio berkata, “Kasih yang ditunjukkan oleh sidang amat menyentuh hati.” Selepas enam tahun, mereka berkata, “Kemajuan rohani yang dilihat membawa sukacita yang tiada tolok bandingnya. Kini, kehidupan kami lebih bermakna.”

“SAYA ‘MERASAKAN BETAPA BAIKNYA YEHUWA’!”

Di Filipina, hampir 3,000 orang saudara dan saudari telah berpindah ke kawasan yang lebih memerlukan penyiar. Kira-kira 500 orang daripada mereka ialah saudari bujang. Mari kita lihat contoh Karen.

Karen

Karen, yang kini berumur pertengahan 20-an, dibesarkan di Baggao, Cagayan. Semasa remaja, dia ingin meluaskan aktiviti penyebarannya. Dia berkata, “Saya sedar bahawa kita tidak mempunyai banyak masa dan Yehuwa mahu semua orang mendengar berita Kerajaan Tuhan. Jadi, saya ingin berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan penyiar.” Beberapa ahli keluarga menggalakkannya untuk mendapatkan pendidikan tinggi, dan bukannya berpindah ke kawasan terpencil untuk menyebar. Jadi, Karen berdoa meminta bimbingan Yehuwa. Dia juga berbincang dengan mereka yang sedang berkhidmat di kawasan terpencil. Semasa berumur 18 tahun, dia berpindah ke kawasan yang terletak kira-kira 64 km dari rumahnya untuk menyokong sebuah sidang kecil.

Sidang ini ditugaskan untuk menyebar di kawasan pergunungan yang terletak di sepanjang Lautan Pasifik. Karen berkata, “Dari Baggao ke sidang baru itu, kami berjalan selama tiga hari, merentasi bukit-bukau dan menyeberang sungai lebih daripada 30 kali.” Dia menambah, “Untuk melawat sesetengah pelajar Bible, saya berjalan selama enam jam, bermalam di rumah mereka, dan pada keesokan hari saya berjalan selama enam jam untuk balik.” Adakah usahanya berbaloi? “Kadangkala, kaki saya sakit, tetapi saya mengadakan 18 pembelajaran Bible. Saya ‘merasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa’!” kata Karen sambil tersenyum lebar.—Mzm. 34:9.

“SAYA LEBIH BERGANTUNG PADA YEHUWA”

Sukhi

Apakah yang menggerakkan Sukhi, seorang saudari bujang yang berumur awal 40-an untuk berpindah dari Amerika Syarikat ke Filipina? Pada perhimpunan litar 2011, dia menyaksikan temu ramah sepasang suami isteri yang telah menjual kebanyakan harta mereka dan berpindah ke Mexico untuk menyokong kerja penyebaran. Sukhi berkata, “Temu ramah itu membuat saya berfikir tentang matlamat yang tidak pernah saya fikirkan.” Sukhi berketurunan India. Selepas mengetahui bahawa ada banyak orang Punjabi tinggal di Filipina, dia memutuskan untuk pergi ke sana dan membantu mereka. Apakah cabaran yang dihadapinya?

Sukhi berkata, “Saya tidak sangka begitu susah untuk memutuskan harta mana yang perlu dijual dan yang perlu disimpan. Selepas 13 tahun tinggal di pangsapuri sendiri, saya berpindah balik bersama keluarga buat sementara waktu. Memang tidak mudah, tetapi inilah caranya saya belajar untuk hidup sederhana.” Apakah cabaran yang dihadapinya selepas berpindah ke Filipina? “Rasa takut pada serangga dan perasaan rindu pada kampung halaman merupakan cabaran terbesar. Hal ini membuat saya lebih bergantung pada Yehuwa!” Adakah usahanya berbaloi? Sukhi berkata sambil tersenyum, “Yehuwa memberitahu kita, ‘Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.’ Kata-kata ini menjadi kenyataan apabila seorang penghuni rumah bertanya, ‘Bilakah kamu akan datang lagi? Saya ada banyak soalan.’ Saya amat bersukacita dan berpuas hati kerana dapat membantu orang yang lapar secara rohani!” (Mal. 3:10) Sukhi menambah, “Memang susah semasa membuat keputusan untuk berpindah. Selepas berpindah, saya kagum melihat bagaimana Yehuwa menjaga segala keperluan saya.”

SAYA “BERJAYA MENGATASI RASA TAKUT”

Sime, seorang saudara yang sudah berkahwin dan berumur lewat 30-an berpindah dari Filipina ke negara Timur Tengah untuk mendapat gaji yang lumayan. Semasa di sana, galakan daripada penyelia litar dan ceramah seorang ahli Badan Pimpinan telah menggerakkan Sime untuk mengutamakan Yehuwa. Sime berkata, “Saya begitu cemas apabila berfikir untuk berhenti kerja!” Walaupun begitu, dia berhenti kerja dan balik ke Filipina. Hari ini, Sime dan isterinya, Haidee, berkhidmat di Davao del Sur, selatan Filipina. Tempat itu memerlukan banyak penyiar untuk meliputi kawasan penyebaran yang luas. Sime berkata, “Saya amat bersyukur kerana berjaya mengatasi rasa takut saya dan mengutamakan Yehuwa. Tiada apa-apa yang lebih bermakna selain daripada memberikan apa yang terbaik kepada Yehuwa!”

Sime dan Haidee

“KHIDMAT INI MEMBERIKAN KEPUASAN HATI”

Ramilo dan Juliet, pasangan perintis yang berumur awal 30-an telah menawarkan diri untuk membantu sebuah sidang yang terletak kira-kira 30 km dari rumah mereka. Jadi, setiap minggu, tidak kira hujan atau panas, Ramilo dan Juliet akan menunggang motosikal dan berulang-alik beberapa kali untuk menghadiri perjumpaan dan menyertai aktiviti penyebaran. Walaupun perlu melalui jalan yang lekak-lekuk dan jambatan gantung, mereka tetap gembira kerana dapat meluaskan khidmat mereka. Ramilo berkata, “Saya dan isteri mengadakan 11 pembelajaran Bible! Kami perlu membuat pengorbanan untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan, tetapi khidmat ini memberikan kepuasan hati!”—1 Kor. 15:58.

Juliet dan Ramilo

Adakah anda berminat mengetahui lebih lanjut tentang berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan penyiar, tidak kira di kawasan tempatan atau di luar negara? Jika ya, beritahulah penyelia litar anda dan baca rencana “Bolehkah Anda ‘Datang ke Makedonia’?” dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Ogos 2011.