Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apa yang Kita Pelajari daripada Alam Semesta

Apa yang Kita Pelajari daripada Alam Semesta

Para ahli kaji bintang sentiasa berasa kagum dengan alam semesta. Dengan adanya peralatan yang semakin canggih untuk mengkaji alam semesta, apakah yang telah mereka temui?

Alam semesta sangat teratur. Menurut sebuah artikel dalam majalah Astronomy, “galaksi tidak tersebar secara rawak, tetapi tersusun mengikut corak seperti sarang labah-labah.” Bagaimanakah hal ini dapat berlaku? Para saintis percaya bahawa hal ini mungkin disebabkan oleh sejenis bahan yang tidak kelihatan, yang dipanggil jirim gelap (dark matter). Jirim gelap ini “bagaikan rangka yang tidak kelihatan, . . . yang memastikan agar galaksi, gugusan galaksi, dan gugusan besar galaksi, . . . disusun mengikut kedudukan masing-masing.”

Mengapakah alam semesta begitu teratur? Mungkinkah semua itu berlaku secara rawak? Perhatikan apa yang dikatakan mendiang Allan Sandage. Beliau dianggap sebagai “salah seorang ahli astronomi yang paling terkenal dan berpengaruh pada abad ke-20,” dan dia percaya Tuhan wujud.

Beliau berkata, “Saya rasa agak mustahil alam semesta yang begitu teratur ini muncul daripada kekacauan. Pasti terdapat prinsip tertentu yang membuatnya teratur.”

Alam semesta dapat menampung hidupan. Fikirkan contoh daya nuklear lemah. Daya itu memastikan matahari membakar bahan apinya pada kadar yang tetap. Jika daya itu lebih lemah, matahari tidak akan terbentuk. Namun jika daya itu lebih kuat, matahari sudah lama lenyap.

Sebenarnya, di alam semesta terdapat banyak daya lain yang perlu terselaras dengan tepat, barulah hidupan dapat wujud. Anil Ananthaswamy, seorang penulis buku sains, mengatakan bahawa jika salah satu daya itu tidak terselaras dengan baik, “bintang-bintang, planet, dan galaksi tidak mungkin terbentuk. Hidupan pun tidak akan wujud.”

Alam semesta mempunyai tempat tinggal yang sesuai untuk manusia. Bumi ada atmosfera yang sesuai, jumlah air yang sesuai, dan bulan yang saiznya sesuai untuk menstabilkan bumi. Sebuah artikel National Geographic menyatakan, “Rangkaian geologi, ekologi, dan biologi di bumi menjadikan bumi satu-satunya planet yang sesuai dihuni manusia.” *

Menurut seorang penulis, sistem suria kita terletak jauh daripada bintang-bintang lain. Namun, disebabkan jarak itu, barulah hidupan dapat wujud di bumi. Jika kita berada lebih dekat dengan bintang-bintang lain, sama ada yang di pusat atau di pinggir galaksi Bima Sakti, sinaran radiasi di situ akan membahayakan nyawa kita. Sesetengah saintis berkata bahawa kita berada dalam “zon yang boleh dihuni” di galaksi Bima Sakti.

Berdasarkan pengetahuannya tentang alam semesta dan hukum-hukum alam, Paul Davies, seorang ahli fizik, menyatakan, “Saya tidak dapat percaya bahawa kita wujud di alam semesta ini secara kebetulan. . . . Terdapat sebabnya mengapa kita berada di sini.” Memang, Davies tidak mengatakan bahawa Tuhan menciptakan alam semesta dan manusia. Apakah pendapat anda pula? Setelah melihat bagaimana alam semesta dan bumi dapat menampung hidupan, adakah anda rasa semua itu direka atau berlaku secara kebetulan?

^ per. 8 Walaupun artikel National Geographic ini tidak menyatakan bahawa Tuhan menciptakan bumi dan manusia, artikel ini mengakui bahawa bumi sangat sesuai untuk didiami manusia.