Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda​—Adakah Anda Sedia untuk Dibaptis?

Kaum Muda​—Adakah Anda Sedia untuk Dibaptis?

“Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak?”—LUK. 14:28.

LAGU: 120, 64

Kedua-dua rencana ini ditujukan kepada kaum muda yang ingin dibaptis

1, 2. (a) Apakah yang menggembirakan umat Tuhan? (b) Bagaimanakah ibu bapa Kristian dan para penatua membantu kaum muda memahami maksud pembaptisan?

“SAYA mengenali kamu sejak kamu dilahirkan,” kata seorang penatua kepada Christopher yang berumur 12 tahun. “Saya gembira apabila mendengar bahawa kamu ingin dibaptis. Boleh saya tanya, ‘Mengapakah kamu mengambil langkah ini?’” Soalan penatua itu memang bagus. Kita gembira apabila ribuan kaum muda dibaptis setiap tahun. (Pkh. 12:1) Namun, ibu bapa dan para penatua di sidang ingin memastikan agar kaum muda membuat keputusan itu sendiri dan memahami maksudnya untuk dibaptis.

2 Melalui Bible, kita telah belajar bahawa pembaktian dan pembaptisan membuka lembaran baru dalam kehidupan. Hal ini membawa banyak berkat daripada Yehuwa, tetapi juga tentangan daripada Syaitan. (Ams. 10:22; 1 Ptr. 5:8) Itulah sebabnya ibu bapa Kristian harus mengambil masa untuk mengajar anak tentang apa yang terlibat apabila seseorang menjadi pengikut Kristus. Bagi kaum muda yang tidak mempunyai ibu bapa dalam kebenaran, para penatua akan membantu mereka untuk memahami maksud pembaktian dan pembaptisan. (Baca Lukas 14:27-30.) Sepertimana persiapan diperlukan untuk membina sebuah bangunan, kaum muda juga harus membuat persiapan sebelum dibaptis agar dapat menyembah Yehuwa dengan setia “sehingga akhir.” (Mat. 24:13) Apakah yang dapat membantu kaum muda untuk memiliki tekad menyembah Yehuwa buat selama-lamanya? Mari kita lihat.

3. (a) Apakah yang dapat kita pelajari melalui kata-kata Yesus dan Petrus tentang kepentingan pembaptisan? (Mat. 28:19, 20; 1 Ptr. 3:21) (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan, dan mengapa?

3 Kaum muda, adakah anda ingin dibaptis? Jika ya, matlamat itu sangat bagus! Menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa merupakan penghormatan yang besar. Pembaptisan juga merupakan syarat bagi orang Kristian. Hal ini sangat penting jika seseorang ingin diselamatkan semasa kesengsaraan besar. (Mat. 28:19, 20; 1 Ptr. 3:21) Apabila dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda berjanji untuk menyembah Yehuwa buat selama-lamanya. Anda pasti ingin menepati janji itu. Maka, soalan berikut akan membantu anda untuk melihat sama ada anda bersedia untuk dibaptis atau tidak: (1) Adakah saya cukup matang untuk membuat keputusan ini? (2) Adakah pembaptisan keinginan hati saya? (3) Adakah saya memahami maksud membaktikan diri kepada Yehuwa? Mari kita bincangkan soalan-soalan ini.

APABILA ANDA CUKUP MATANG

4, 5. (a) Mengapakah pembaptisan bukan hanya untuk orang dewasa? (b) Bagi orang Kristian, apakah maksud menjadi matang?

4 Bible tidak menyatakan bahawa hanya orang dewasa atau yang mencapai umur tertentu boleh dibaptis. Amsal 20:11 berkata, “Perbuatan seorang anak dapat menunjukkan kelakuannya; kamu akan tahu sama ada dia baik atau jahat.” Maka, orang muda juga dapat memahami maksud melakukan apa yang betul dan membaktikan diri kepada Pencipta. Pembaptisan merupakan langkah penting bagi kaum muda yang telah membuktikan kematangan mereka dan telah membaktikan diri kepada Yehuwa.—Ams. 20:7.

5 Apakah maksud menjadi matang? Kematangan bukan hanya merujuk kepada umur atau perkembangan fizikal seseorang. Bible menyatakan bahawa “daya penilaian” orang matang dapat membezakan apa yang betul dan salah. (Ibr. 5:14) Orang yang matang tahu apa yang betul dan bertekad untuk melakukannya. Jadi, dia tidak mudah dipengaruhi untuk melakukan apa yang salah. Orang lain juga tidak perlu selalu memberitahunya untuk melakukan apa yang betul. Sudah tentu kaum muda yang dibaptis patut melakukan apa yang betul walaupun ibu bapa atau orang dewasa lain tidak berada di sampingnya.—Bandingkan Filipi 2:12.

6, 7. (a) Ceritakan cabaran yang dihadapi Daniel sewaktu berada di Babilon. (b) Bagaimanakah Daniel membuktikan kematangannya?

6 Dapatkah kaum muda menunjukkan kematangan seperti itu? Fikirkan contoh daripada Bible, iaitu Daniel. Kemungkinan sewaktu remaja, dia diambil daripada ibu bapanya dan dibawa ke Babilon. Di sana, Daniel hidup dalam kalangan orang yang tidak mentaati perintah Tuhan. Mari kita lihat situasi Daniel dengan teliti. Dia mendapat layanan yang istimewa di Babilon. Dia juga merupakan salah seorang yang dipilih untuk berkhidmat bagi raja. (Dan. 1:3-5, 13) Nampaknya, Daniel mempunyai kedudukan yang lebih baik di Babilon berbanding di Israel.

7 Apakah reaksi Daniel? Adakah dia membiarkan orang Babilon mengubah atau melemahkan imannya? Tidak! Bible berkata bahawa sewaktu di Babilon, “Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya” dengan penyembahan palsu. (Dan. 1:8) Itulah kematangan yang sebenar!

Orang muda yang matang tidak berpura-pura menjadi sahabat Tuhan di Dewan Perjumpaan, dan sahabat dunia di sekolah (Lihat perenggan 8)

8. Apakah yang anda pelajari daripada teladan Daniel?

8 Apakah yang dapat anda pelajari daripada teladan Daniel? Walaupun menghadapi cabaran, orang muda yang matang akan tetap teguh dalam kepercayaannya. Dia tidak seperti seekor kameleon, sejenis binatang seperti cicak yang kulitnya bertukar warna mengikut keadaan sekeliling. Dia tidak berpura-pura menjadi sahabat Tuhan di Dewan Perjumpaan, dan sahabat dunia di sekolah. Sebaliknya, dia akan tetap setia walaupun menghadapi cabaran.—Baca Efesus 4:14, 15.

9, 10. (a) Apakah manfaatnya apabila orang muda merenung tentang reaksinya sewaktu digoda? (b) Apakah maksud pembaptisan?

9 Sudah tentu, tiada seorang pun yang sempurna. Seperti orang dewasa, kaum muda juga berbuat silap. (Pkh. 7:20) Namun, jika anda ingin dibaptis, anda perlu memeriksa betapa kuat tekad anda untuk mentaati Yehuwa. Tanyalah diri: “Adakah saya selalu berusaha untuk mentaati Yehuwa?” Fikirkan reaksi anda semasa iman anda diuji pada masa lampau. Adakah anda memilih untuk melakukan apa yang betul? Seperti Daniel, bagaimana pula jika anda digalakkan untuk menggunakan bakat anda demi dunia Syaitan? Jika anda mengalami godaan seperti ini, dapatkah anda memahami apa kehendak Yehuwa?—Ef. 5:17.

10 Mengapakah penting bagi anda untuk mengetahui jawapan kepada soalan tersebut? Kerana hal itu akan membantu anda untuk sedar betapa seriusnya pembaptisan. Pembaptisan menunjukkan kepada orang lain bahawa anda telah mengucapkan janji yang penting kepada Yehuwa. Anda berjanji untuk mengasihi dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati buat selama-lamanya. (Mrk. 12:30) Setiap orang yang dibaptis harus bertekad untuk menunaikan janjinya kepada Yehuwa.—Baca Pengkhutbah 5:3, 4.

ADAKAH PEMBAPTISAN KEINGINAN HATI ANDA?

11, 12. (a) Orang yang ingin dibaptis harus berasa pasti tentang apa? (b) Bagaimanakah anda boleh mempunyai pandangan yang betul mengenai pembaptisan?

11 Bible memberitahu bahawa umat Tuhan, termasuk kaum muda, akan berkhidmat kepada-Nya dengan “sukarela.” (Mzm. 110:3) Oleh itu, orang yang ingin dibaptis harus memastikan bahawa itulah keinginan hatinya. Jadi anda mungkin perlu memeriksa keinginan hati anda dengan teliti, terutamanya jika anda dibesarkan dalam kebenaran.

12 Semasa membesar, anda mungkin nampak ramai orang dibaptis. Mungkin kawan dan adik-beradik anda juga sudah dibaptis. Namun, anda perlu berhati-hati agar tidak berasa bahawa anda harus dibaptis hanya kerana sudah mencapai umur tertentu atau kerana orang lain dibaptis. Bagaimanakah anda boleh mempunyai pandangan Yehuwa terhadap pembaptisan? Luangkanlah masa untuk memikirkan mengapa pembaptisan sangat penting. Rencana ini dan rencana seterusnya akan membincangkan hal ini.

13. Bagaimanakah anda dapat mengetahui jika pembaptisan merupakan keinginan hati anda?

13 Salah satu cara anda dapat mengetahui jika pembaptisan memang merupakan keinginan hati anda adalah dengan meneliti doa anda. Adakah anda sering berdoa kepada Yehuwa? Adakah anda berdoa secara spesifik? Jawapan kepada soalan ini dapat membantu anda untuk menilai hubungan anda dengan Yehuwa. (Mzm. 25:4) Yehuwa dapat menjawab doa menerusi Bible. Dengan mempelajari Bible secara teliti, anda menunjukkan bahawa anda berusaha mendekati Yehuwa dan ingin menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Yos. 1:8) Tanyalah diri: “Adakah saya belajar Bible dengan tetap? Adakah saya mengambil bahagian semasa penyembahan keluarga?” Jawapan kepada soalan ini dapat membuktikan sama ada anda benar-benar ingin dibaptis atau tidak.

PEMBAKTIAN—APAKAH MAKSUDNYA?

14. Jelaskan perbezaan antara pembaktian dan pembaptisan.

14 Sesetengah kaum muda mungkin tidak memahami sepenuhnya perbezaan antara pembaktian dan pembaptisan. Ada yang berkata bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa, tetapi belum bersedia untuk dibaptis. Adakah hal itu masuk akal? Pembaktian merupakan janji kepada Yehuwa bahawa anda akan menyembah-Nya buat selama-lamanya. Apabila dibaptis, anda menunjukkan kepada orang lain bahawa anda telah membaktikan diri kepada Yehuwa. Jadi sebelum dibaptis, anda perlu memahami maksud membaktikan diri kepada Tuhan.

15. Apakah maksud pembaktian?

15 Apabila anda membaktikan diri kepada Yehuwa, anda memberitahu-Nya bahawa anda kini milik-Nya. Anda berjanji bahawa anda akan mengutamakan kehendak-Nya dalam kehidupan anda. (Baca Matius 16:24.) Kita mesti menunaikan janji yang dibuat, apatah lagi janji kepada Tuhan Yehuwa! (Mat. 5:33) Jadi, bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda tidak lagi hidup bagi diri sendiri, tetapi hidup bagi Yehuwa?—Rm. 14:8.

16, 17. (a) Berikan perumpamaan tentang cara kita menolak kepentingan sendiri. (b) Apabila seseorang membaktikan diri, apakah yang sebenarnya dikatakannya?

16 Marilah kita fikirkan perumpamaan ini. Bayangkan seorang sahabat memberi anda sebuah kereta sebagai hadiah. Dia memberi anda dokumen rasmi bagi kereta itu dan berkata, “Kereta ini milik kamu.” Kemudian dia berkata, “Tetapi saya akan menyimpan kunci kereta. Saya akan memandu kereta ini, bukan kamu.” Apakah perasaan anda mengenai “hadiah” ini? Apakah perasaan anda terhadap sahabat yang memberikan kereta itu kepada anda?

17 Apabila seseorang membaktikan diri kepada Yehuwa, dia memberitahu-Nya: “Saya menyerahkan kehidupan saya kepada Engkau. Saya milik Engkau.” Yehuwa tentu mengharapkan orang itu untuk menepati janjinya. Tetapi, bagaimana jika orang itu berdating secara sembunyi dengan seseorang yang bukan penyembah Tuhan? Bagaimana pula jika orang itu menerima tawaran kerja yang mengehadkan masanya untuk aktiviti penyebaran atau perjumpaan? Jika hal ini berlaku, orang itu tidak menepati janjinya kepada Yehuwa. Perbuatan itu adalah seperti sahabat yang menyimpan kunci kereta itu. Apabila kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita memberitahu-Nya: “Kehidupan saya milik Engkau, bukan milik saya.” Maka kita akan sentiasa melakukan kehendak Yehuwa walaupun itu bukanlah kehendak kita. Tirulah Yesus yang berkata, “Aku turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakku, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku.”—Yoh. 6:38.

18, 19. (a) Bagaimanakah kata-kata Rose dan Christopher menggambarkan pembaptisan sebagai suatu penghormatan yang membawa berkat? (b) Apakah perasaan anda terhadap penghormatan untuk dibaptis?

18 Jelaslah bahawa pembaptisan merupakan keputusan yang serius. Membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis merupakan suatu penghormatan yang besar. Kaum muda yang mengasihi Yehuwa dan memahami maksud pembaktian, tidak akan teragak-agak untuk membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis. Mereka tidak akan menyesali keputusan mereka. Rose, seorang remaja yang sudah dibaptis, berkata, “Saya mengasihi Yehuwa. Tiada yang lebih menggembirakan selain daripada menyembah Yehuwa. Ada banyak perkara yang saya tidak pasti dalam kehidupan, tetapi saya berasa pasti dengan keputusan saya untuk dibaptis.”

19 Bagaimana pula dengan Christopher yang disebutkan pada permulaan rencana ini? Apakah perasaannya mengenai keputusannya untuk dibaptis semasa dia berumur 12 tahun? Dia berkata bahawa dia sangat gembira dengan keputusan itu. Dia mula merintis semasa dia berumur 17 tahun, menjadi seorang pembantu sidang pada umur 18 tahun, dan kini berkhidmat di Bethel. Dia berkata, “Pembaptisan merupakan keputusan yang betul. Berkhidmat untuk Yehuwa dan organisasi-Nya membawa kepuasan.” Jika anda ingin dibaptis, bagaimanakah anda dapat membuat persiapan? Rencana yang seterusnya akan membincangkan soalan tersebut.