Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Salah Siapa?

Salah Siapa?

Jika Tuhan tidak menyebabkan penderitaan, mengapakah manusia asyik dirundung masalah seperti kebuluran, kemiskinan, peperangan, wabak penyakit, dan bencana alam? Bible, iaitu Firman Tuhan, menjelaskan tiga sebab utama:

  1. Ketamakan, Kebencian, dan Sikap Mementingkan Diri. “Manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.” (Pengkhutbah 8:9) Ramai orang menderita kerana ditindas oleh manusia yang tidak sempurna, mementingkan diri, atau kejam.

  2. Malang Tidak Berbau. Manusia sering menderita kerana “waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pengkhutbah 9:11) Kemalangan dapat berlaku kerana seseorang berada di tempat yang salah pada masa yang salah, atau kerana kecuaian dan kesilapan manusia.

  3. Dunia Ini Dikuasai Si Jahat. Menurut Bible, sebab utama manusia menderita adalah kerana “seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat,” iaitu Syaitan Si Iblis. (1 Yohanes 5:19) Pada mulanya, dia malaikat Tuhan yang berkuasa, tetapi dia “tidak berpegang teguh pada kebenaran.” (Yohanes 8:44) Sebilangan malaikat yang mementingkan nafsu sendiri telah mengikut Syaitan dan memberontak terhadap Tuhan, lalu menjadi roh-roh jahat. (Kejadian 6:1-5) Sejak Syaitan dan roh-roh jahat memberontak, mereka telah memberikan pengaruh yang besar terhadap keadaan dunia, terutamanya pada zaman sekarang. Kini Si Iblis sangat marah dan dia “menyesatkan seluruh dunia” sehingga keadaan bumi huru-hara. (Wahyu 12:9, 12) Ya, Syaitan ialah pemerintah yang zalim, yang suka melihat manusia menderita. Dialah dalang di sebalik penderitaan manusia, bukan Tuhan.

FIKIRKAN: Hanya penjahat yang tidak berhati perut akan membuat orang menderita. Bible menyatakan, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Maka, “mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!”​—Ayub 34:10.

Namun, anda mungkin berfikir, “Berapa lama lagi Tuhan Yang Maha Kuasa akan membiarkan Syaitan bermaharajalela?” Kita telah belajar bahawa Tuhan membenci kejahatan, dan Dia turut berdukacita semasa kita menderita. Bible juga memberitahu kita, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.” (1 Petrus 5:7) Tuhan mengasihi kita, dan Dia mempunyai kuasa untuk menghapuskan segala ketidakadilan dan penderitaan. Hal ini akan dijelaskan dalam rencana seterusnya. *

^ per. 7 Untuk maklumat lanjut tentang sebabnya dunia ini penuh dengan penderitaan, lihat pelajaran 26 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Anda dapat memuat turun buku ini dengan percuma di www.isa4310.com/ms.