Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Membantu Mereka yang Menderita Masalah Kesihatan Mental

Cara Membantu Mereka yang Menderita Masalah Kesihatan Mental

BIBLE KATA: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”​—AMSAL 17:17.

Maksudnya

Semasa kawan kita menderita masalah kesihatan mental, kita mungkin berasa sedih dan tidak berdaya. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap kawan kita? Apakah yang dapat kita lakukan untuk membantunya menangani masalah mental?

Bagaimana Nasihat Bible Dapat Membantu

“Cepat mendengar.”​—YAKOBUS 1:19.

Salah satu cara terbaik untuk membantu kawan anda adalah dengan mendengar luahannya. Anda tidak perlu memberikan jawapan yang panjang kepada segala yang dikatakannya. Anda hanya perlu menunjukkan bahawa anda prihatin terhadapnya dan sedang mendengar dengan teliti. Dengarlah dengan fikiran yang terbuka, dan janganlah membuat kesimpulan secara tergesa-gesa atau menghakiminya. Ingatlah, dia mungkin mengatakan sesuatu secara melulu dan menyesalinya pada kemudian hari.​—Ayub 6:2, 3.

“Mengucapkan kata-kata yang melegakan hati.”​—1 TESALONIKA 5:14.

Kawan anda mungkin berasa resah atau tidak berguna. Jika anda meyakinkannya bahawa anda prihatin terhadapnya, anda dapat menggalakkan atau melegakan hatinya biarpun anda tidak tahu apa yang hendak dikatakan.

“Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih.”​—AMSAL 17:17.

Berikanlah bantuan yang praktikal. Namun daripada berfikir bahawa anda tahu apa yang diperlukannya, tanyalah dia apa yang dapat anda lakukan untuknya. Jika kawan anda susah untuk mengungkapkan keperluannya, anda dapat mencadangkan untuk melakukan hal yang praktikal bersama-samanya, contohnya pergi berjalan bersama-sama. Anda juga mungkin dapat menawarkan diri untuk membantunya membeli-belah, membersihkan rumah, atau melakukan kerja lain.​—Galatia 6:2.

“Bersabar.”—1 TESALONIKA 5:14.

Jika kawan anda tidak bersedia untuk bercakap, yakinkanlah dia bahawa anda bersedia untuk mendengarkannya pada bila-bila masa. Disebabkan penyakitnya, kawan anda mungkin mengatakan atau melakukan hal yang menyakiti hati anda. Dia mungkin tiba-tiba membatalkan rancangan bersama anda atau cepat naik marah. Cubalah bersabar dan menyelami perasaannya semasa membantunya.​—Amsal 18:24.

Sokongan Anda Amat Penting

“Saya sentiasa bersedia untuk mendengar luahan hati kawan saya. Biarpun saya tidak dapat menyelesaikan masalahnya, saya selalu mendengar dengan teliti. Kadangkala itulah yang diperlukannya untuk berasa lebih lega.”​—Farrah, a yang kawannya menghadapi masalah gangguan pemakanan, keresahan, dan kemurungan.

“Salah seorang kawan saya sangat baik hati dan positif. Dia telah menjemput saya ke rumahnya untuk makan bersamanya. Makanannya sedap, dan dia sangat pengasih. Saya rasa senang meluahkan isi hati saya kepadanya, dan hal itu menggalakkan saya!”​—Ha-eun, yang menderita akibat masalah kemurungan.

“Sangat penting untuk bersabar. Semasa isteri saya melakukan sesuatu yang menyakiti hati saya, saya mengingatkan diri bahawa dia bertindak begitu kerana penyakitnya, dan itu bukanlah dirinya yang sebenar. Hal ini membantu saya tidak cepat naik marah dan lebih bertimbang rasa terhadapnya.”​—Jacob, yang isterinya menderita akibat masalah kemurungan.

“Isteri saya telah banyak menyokong dan melegakan saya. Apabila saya berasa tidak berdaya disebabkan penyakit saya, dia tidak pernah memaksa saya untuk melakukan apa yang saya tidak suka. Jadi ada kalanya, isteri saya tidak dapat melakukan sesuatu yang ingin dilakukannya. Saya sangat tersentuh dengan kemurahan hati dan pengorbanannya.”​—Enrico, yang mengalami masalah kecelaruan keresahan.

a Sesetengah nama telah diubah.