Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 78

Hamba yang Setia Sentiasa Berjaga-jaga!

Hamba yang Setia Sentiasa Berjaga-jaga!

LUKAS 12:35-59

  • HAMBA YANG SETIA MESTI SENTIASA BERJAGA-JAGA

  • YESUS DATANG UNTUK MENIMBULKAN PERPECAHAN

Yesus menjelaskan bahawa hanya “kawanan kecil” yang akan diberi peluang untuk memerintah di syurga bersama Kristus. (Lukas 12:32) Maka dia menekankan bahawa mereka perlu memupuk sikap yang betul. Apakah sikap itu?

Yesus menyuruh para pengikutnya supaya bersedia untuk menyambut kedatangannya. Dia berkata, “Hendaklah kamu mengikat pinggang dan memastikan pelita kamu dinyalakan. Jadilah seperti hamba yang sedang menunggu tuan mereka pulang dari majlis perkahwinan. Apabila tuan mereka tiba dan mengetuk pintu, mereka dapat membuka pintu dengan serta-merta. Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika tuan mereka datang dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga!”​—Lukas 12:35-37.

Sepertimana hamba dalam perumpamaan itu bersedia untuk menyambut kedatangan tuan mereka, pengikut Yesus juga perlu memupuk sikap berjaga-jaga. Yesus menjelaskan, “Alangkah bahagianya mereka jika [tuan] datang pada lewat malam, bahkan selepas tengah malam, dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga!”​—Lukas 12:38.

Perumpamaan ini juga menyebut tentang cara Anak Manusia akan datang. Yesus memberitahu para pengikutnya, “Pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” (Lukas 12:40) Memandangkan Yesus tidak menyatakan waktu kedatangannya secara tepat, para pengikutnya, terutamanya “kawanan kecil,” harus sentiasa bersedia.

Petrus ingin lebih memahami perumpamaan ini, maka dia bertanya, “Tuan, adakah perumpamaan ini ditujukan kepada kami sahaja atau kepada semua orang juga?” Yesus tidak terus menjawab soalan Petrus, sebaliknya dia berkata, “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana, yang akan dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan terus memberi mereka bekalan makanan yang mencukupi pada masa yang sesuai? Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya.”​—Lukas 12:41-44.

Dalam perumpamaan itu, “tuan” merujuk kepada Anak Manusia, iaitu Yesus, manakala “hamba yang setia” merujuk kepada beberapa orang daripada “kawanan kecil” yang akan memerintah di syurga. (Lukas 12:32) Maka Yesus sedang mengatakan bahawa “hamba yang setia” itu akan “menjaga hamba-hamba lain dan terus memberi mereka bekalan makanan yang mencukupi pada masa yang sesuai.” Oleh itu, Petrus dan murid-murid Yesus dapat menyimpulkan bahawa Anak Manusia akan datang pada masa depan. Pada masa itu, akan ada aturan untuk mengedarkan makanan rohani kepada “hamba-hamba lain,” iaitu pengikut Yesus yang lain.

Kemudian Yesus memberikan nasihat berikut: “Jika hamba itu berkata dalam hatinya, ‘Masih lama lagi sebelum tuanku balik,’ lalu dia mula memukul hamba lelaki dan hamba perempuan yang lain, dan makan minum serta menjadi mabuk, tuan kepada hamba itu akan datang pada hari yang tidak dijangkakannya dan pada masa yang tidak diketahuinya. Kemudian, tuannya akan menjatuhkan hukuman yang berat sekali atasnya dan membuangnya bersama orang yang tidak setia.” (Lukas 12:45, 46) Ya, murid-murid Yesus harus berjaga-jaga dan sentiasa bersedia kerana mereka mungkin akan menjadi cuai dan bahkan mula menentang rakan seiman mereka.

Yesus berkata bahawa dia datang untuk “menyalakan api di bumi.” Dia telah membangkitkan isu-isu yang hangat dan mendedahkan banyak ajaran dan adat yang palsu. Hal ini menyebabkan ‘bapa melawan anak lelaki dan anak lelaki melawan bapa, ibu melawan anak perempuan dan anak perempuan melawan ibu, ibu mentua melawan menantu perempuan dan menantu perempuan melawan ibu mentua.’​—Lukas 12:49, 53.

Sebelum ini, Yesus bercakap kepada murid-muridnya. Sekarang Yesus berpaling kepada orang ramai di situ. Banyak antara mereka berdegil dan enggan menerimanya sebagai Mesias, maka dia berkata, “Apabila kamu melihat awan terbentuk di bahagian barat, kamu segera berkata, ‘Ribut akan melanda,’ dan hal itu terjadi. Apabila kamu melihat bahawa angin selatan sedang bertiup, kamu berkata, ‘Cuaca hari ini tentu sangat panas,’ dan hal itu berlaku. Hai orang yang bermuka dua, kamu tahu cara untuk menjelaskan keadaan cuaca dengan melihat langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami apa yang sedang berlaku sekarang?” (Lukas 12:54-56) Jelaslah bahawa mereka belum bersedia.