Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimanakah Saya Dapat Menjadi Sahabat Tuhan?

Bagaimanakah Saya Dapat Menjadi Sahabat Tuhan?

BAB 35

Bagaimanakah Saya Dapat Menjadi Sahabat Tuhan?

Jeremy, yang berumur 12 tahun, telah mengalami pengalaman yang sangat pahit. Bapanya telah meninggalkan mereka sekeluarga. Disebabkan tragedi itu, dia mula berdoa kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Dia merayu agar bapanya kembali. Melalui pengalaman ini, Jeremy lebih menghargai persahabatannya dengan Tuhan.

Selain berdoa, Jeremy juga membaca Bible dengan tekun, dan ayat di Mazmur 10:14 telah menyentuh hatinya. Ayat itu kata, “Orang yang menjadi mangsa, berpaling kepada-Mu; Engkau ialah penolong anak-anak yatim.” Jeremy kata, “Saya rasa seperti Yehuwa sedang bercakap kepada saya. Dia sedang meyakinkan saya bahawa Dialah penolong saya, dan akan membantu saya. Saya sedar Yehuwalah Bapa yang paling baik.”

PERNAHKAH kamu mengalami situasi yang sama seperti Jeremy? Tidak kira ya atau tidak, Yehuwa masih ingin menjemput kamu untuk menjadi sahabat-Nya. Bible kata, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Walaupun kita tidak dapat melihat Yehuwa, dan sudah pasti Dia bukan sebaya dengan kita, kita masih dapat menjadikan-Nya sahabat terbaik kita.

Tetapi untuk memastikan persahabatan kita dengan Tuhan tetap kuat, kita perlu mencurahkan usaha. Contohnya, jika kamu ingin tanam bunga, sudah pasti kamu perlu menyiramnya secara tetap dan memberinya cukup cahaya matahari. Begitu juga dengan hubungan kita dengan Tuhan. Apakah yang dapat kamu lakukan supaya persahabatan kamu dengan Tuhan terus bertumbuh dan menjadi lebih erat?

Pembelajaran Bible Sangat Penting

Persahabatan dengan Tuhan adalah seperti jalan dua hala. Kita bukan sahaja perlu bercakap kepada Tuhan, tetapi kita juga perlu mendengar kata-kata-Nya. Melalui Bible, kita dapat mendengar Tuhan bercakap kepada kita. Maka adalah sangat penting untuk membaca dan mempelajari Bible.​—Mazmur 1:2, 3.

Memang hal itu tidak senang. Banyak orang muda tidak suka belajar. Sebaliknya, mereka lebih suka menonton TV, main game, atau keluar dengan kawan-kawan. Namun, tidak ada jalan pintas untuk menjadi sahabat Tuhan. Kamu perlu meluangkan masa untuk mendengar cakap Tuhan dengan membaca Bible.

Sebenarnya, pembelajaran Bible boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan tidak membosankan. Hal pertama yang kamu perlu buat ialah menjadualkan masa. Seorang gadis yang bernama Lais berkata, “Saya membaca satu bab setiap pagi.” Maria yang berumur 15 tahun pula berkata, “Saya akan baca Bible sebelum tidur.”

Kamu boleh membuat jadual pembelajaran sendiri dengan merujuk  kotak pada muka surat 292. Kemudian di bawah, catatkan bila kamu dapat meluangkan sekitar 30 minit untuk belajar Firman Tuhan.

․․․․․

Memang ada sesetengah bahagian dalam Bible susah difahami. Jezreel yang berumur 11 tahun kata, “Sesetengah bahagian dalam Bible ada terlalu banyak maklumat, dan memerlukan masa untuk difahami.” Jika kamu rasa begitu, janganlah berputus asa. Ingatlah, semasa membaca Bible, kamu sedang berusaha untuk mendengar cakap Yehuwa, sahabatmu. Secara beransur-ansur, pembacaan Bible akan menjadi lebih menyeronokkan dan kamu akan mendapat banyak manfaat.

Jangan Lupa Berdoa

Selain belajar Bible, kamu juga perlu berdoa. Semasa berdoa, kamu sebenarnya sedang bercakap kepada Tuhan. Sememangnya, doa ialah hadiah yang istimewa daripada Tuhan. Kamu boleh berdoa kepada Tuhan pada bila-bila masa, tidak kira waktu pagi atau waktu malam. Yehuwa sangat ingin mendengar isi hati kamu. Itulah sebabnya Bible berkata, “Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.”​—Filipi 4:6.

Semasa berdoa, kamu boleh beritahu Tuhan apa sahaja tentang perasaan kamu. Contohnya, kamu boleh beritahu Tuhan tentang masalah dan kerisauan kamu. Kamu juga boleh beritahu Tuhan tentang hal-hal yang buat kamu gembira. Apabila kawan kamu membantu kamu atau buat sesuatu yang baik untuk kamu, kamu tentu sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Jadi kamu juga boleh mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana Dia ialah kawan kamu yang terbaik.​—Mazmur 106:1.

Di bawah, catatkan hal-hal yang buat kamu bersyukur kepada Yehuwa.

․․․․․

Semasa kamu berasa takut atau risau, kamu juga boleh beritahu Yehuwa tentang perasaan kamu. Mazmur 55:22 kata, “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu. Dia tidak sekali-kali membiarkan orang yang baik jatuh.”

Di bawah, catatkan masalah atau kerisauan yang ingin kamu luahkan kepada Tuhan.

․․․․․

Pengalaman Sendiri

Untuk mengeratkan hubungan kita dengan Tuhan, ada satu lagi hal penting yang perlu kita buat. Mazmur 34:8 kata, “Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa.” (Mazmur 34:8) Semasa Daud menulis mazmur ini, dia sedang melarikan diri daripada Raja Saul. Daud terpaksa pergi ke kawasan musuh, iaitu kawasan orang Filistin. Untuk menyelamatkan dirinya, Daud terpaksa berpura-pura menjadi gila.​—1 Samuel 21:10-15.

Daripada pengalamannya sendiri, Daud telah merasai bantuan Yehuwa. Dia sedar dia dapat diselamatkan daripada musuhnya bukan kerana kepandaiannya tetapi kerana bantuan Tuhan. Daud berkata, “Aku berdoa kepada Yehuwa, dan Dia menjawab doaku. Dia membebaskan aku daripada segala ketakutanku.” (Mazmur 34:4) Oleh sebab Daud telah merasai bantuan Yehuwa, dia dapat menggalakkan kita untuk ‘rasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa.’ *

Tanyalah diri: Bagaimanakah Yehuwa pernah membantu saya? Catatkan di bawah pengalaman sedemikian. Tip: Catatkannya biarpun kamu rasa hal itu bukan sesuatu yang luar biasa. Kamu juga dapat mencatatkan berkat-berkat yang kamu alami setiap hari.

․․․․․

Mungkin ibu bapa kamu telah mengajar kamu kebenaran daripada Bible. Namun, kamu sendiri harus menjalin persahabatan dengan Tuhan Yehuwa. Kamu boleh menggunakan maklumat dalam bab ini untuk membantu kamu berbuat demikian. Yehuwa akan memberkati kamu. Bible kata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya.”​—Matius 7:7.

[Nota kaki]

^ per. 24 Ungkapan “rasakanlah sendiri” juga diterjemahkan sebagai “mengalami sendiri,” “menyelidiki,” atau “mencari tahu.”—Contemporary English Version, Today’s English Version, dan The Bible in Basic English.

AYAT KUNCI

“Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”​—Matius 5:3.

TIP

Bacalah tiga hingga lima bab setiap hari dan kamu dapat habiskan seluruh Bible dalam sekitar setahun.

TAHUKAH KAMU . . . ?

Oleh sebab kamu sedang membaca buku ini dan berusaha menerapkan nasihat Bible, ini menunjukkan bahawa Yehuwa sedang memimpin kamu kepada-Nya.​—Yohanes 6:44.

RANCANGANKU

Untuk mendapat manfaat daripada pembelajaran Bible, saya akan ․․․․․

Untuk memastikan saya berdoa secara tetap, saya akan ․․․․․

Tentang topik ini, saya ingin tanya ibu bapa saya ․․․․․

APAKAH PENDAPAT KAMU?

● Bagaimanakah kamu dapat buat pembelajaran Bible lebih menyeronokkan?

● Mengapakah Yehuwa ingin mendengar doa orang yang tidak sempurna?

● Bagaimanakah kamu dapat menjadikan doa kamu lebih bermakna?

[Petikan pada muka surat 291]

“Semasa kecil, saya selalu doa hal yang sama saja. Tetapi sekarang, saya akan fikir tentang hal baik dan hal buruk yang berlaku setiap hari. Kemudian saya akan doa tentangnya. Memandangkan setiap hari berbeza, saya boleh doa tentang hal-hal yang berbeza.’’​—Eve

[Kotak/​Gambar pada muka surat 292]

 Kenalilah Bible Kamu

1. Pilih kisah Bible yang kamu mahu baca. Berdoalah untuk mendapatkan kebijaksanaan supaya kamu dapat memahaminya.

2. Baca kisah itu dengan teliti. Bacalah dengan perlahan-lahan, dan gunakan imaginasi kamu. Berusahalah untuk lihat apa yang sedang digambarkan, dengar suara watak-watak Bible, hidu baunya, rasai makanan, dan sebagainya. Jadikanlah kisah itu hidup!

3. Fikirkan tentang apa yang dibaca. Tanyalah diri kamu soalan-soalan seperti:

● Mengapakah Yehuwa mencatatkan kisah ini dalam Bible?

● Watak-watak manakah yang ingin saya teladani, dan yang manakah ingin saya hindari?

● Apakah pengajaran yang saya peroleh daripada kisah ini?

● Apakah yang saya belajar tentang perbuatan dan sifat-sifat Yehuwa?

4. Berdoalah kepada Yehuwa. Beritahu Dia apa yang telah kamu pelajari dan bagaimana kamu ingin menerapkannya dalam hidup. Ucapkanlah terima kasih kepada-Nya kerana memberi kamu Firman-Nya, Bible!

[Gambar]

“Firman-Mu bagaikan pelita yang membimbing langkahku, dan bagaikan cahaya yang menerangi jalanku.”​—Mazmur 119:105.

[Kotak/​Gambar pada muka surat 294]

Utamakan Hal yang Penting

Terlalu sibuk untuk berdoa? Tiada masa untuk pembelajaran Bible? Mungkin kamu perlu periksa keutamaan kamu.

Cuba eksperimen ini: Ambil sebuah baldi lalu masukkan beberapa ketul batu besar. Kemudian, isi baldi itu dengan pasir sampai penuh. Sekarang, kamu ada baldi yang penuh dengan pasir dan batu.

Selepas itu, keluarkan semuanya dari baldi dan isikan baldi itu dengan pasir terlebih dahulu. Sekarang, masukkan batu-batu itu ke dalam baldi. Dapatkah semua batu itu muat dalam baldi? Tidak. Mengapa? Kerana baldi itu sudah dipenuhi pasir.

Apakah pengajarannya? Jika kamu buat hal-hal yang kurang penting dulu seperti bermain, kamu tidak akan ada masa untuk hal-hal yang lebih penting. Bible kata kita harus “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.” (Filipi 1:10) Dengan mengikut nasihat Bible, kamu akan mempunyai masa untuk melakukan hal rohani dan juga berekreasi. Jadi, lakukanlah hal-hal yang lebih penting dahulu.

[Gambar pada muka surat 290]

Sepertimana tanaman perlu dijaga supaya terus bertumbuh mekar, begitu juga kamu perlu menjaga persahabatan kamu dengan Tuhan