Lompat ke kandungan

Isteri kepada Saudara Oleg Danilov, iaitu Nataliya, menyambutnya selepas dia dibebaskan

5 MAC 2024
RUSIA

Saudara Oleg Danilov Dibebaskan dari Penjara di Rusia

Saudara Oleg Danilov Dibebaskan dari Penjara di Rusia

Pada 1 Mac 2024, Saudara Oleg Danilov telah dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukumannya selama tiga tahun.

Sebelum dia disabitkan, Oleg menyatakan tekadnya untuk melakukan apa yang benar biarpun dia akan dipenjarakan. Dia kata, “Saya merenungkan kata-kata Paulus di Filipi 4:4 yang berbunyi, ‘Hendaklah kamu sentiasa bersukacita kerana kamu hidup bersatu dengan Tuan kita. Sekali lagi aku berkata: Bersukacitalah!’ Paulus menulis ayat itu semasa di penjara. Hubungannya dengan Yehuwa dan iman kepada Tuhan begitu kuat sehingga hukuman penjara pun tidak dapat meragut sukacitanya. Saya mahu menirunya dan tidak membiarkan apa-apa merampas sukacita saya.”

Tekadnya telah diuji semasa Oleg terpaksa berpisah dengan keluarganya dan dipenjarakan. Dia juga tidak dapat menghadiri perkahwinan anak sulungnya, dan hal ini amatlah susah baginya. Isteri Oleg, iaitu Saudari Nataliya Danilova, menjelaskan apa yang telah membantu suaminya, “Oleg tahu jika dia asyik memikirkan hal-hal yang telah dia hilang, ini akan melemahkan tekadnya dan meragut sukacitanya. Jadi, dia terus mengingatkan diri tentang apa yang masih dia miliki, iaitu hubungannya dengan Yehuwa, bantuan kuasa suci Tuhan, keluarga yang mengasihinya, kawan-kawan rapat, dan persaudaraan sedunia. Apabila dia bertumpu kepada hal-hal ini, dia rasa sangat bahagia dan diberkati.”

Oleg dan Nataliya bersama dengan dua orang anak lelaki mereka dan seorang menantu perempuan

Nataliya juga sebutkan bagaimana teladan Oleg telah membantu anak-anak mereka. Dia kata, “Anak-anak kami melihat apa yang bapa mereka lalui dan cara Yehuwa membantu kami sekeluarga. Ini meneguhkan keyakinan mereka kepada Yehuwa dan kasih kepada saudara saudari. Mereka juga berazam untuk mengutamakan Yehuwa dalam hidup mereka.”

Kita bergembira melihat Oleg dan keluarganya dapat bersatu semula. Meskipun kita harus menderita kerana iman kita, kita amat bersyukur kerana kita masih dapat bersukacita dan yakin bahawa kuasa suci Tuhan ada pada kita.—1 Petrus 4:14.