Lompat ke kandungan

Saya Berasa Bersalah​—Dapatkah Bible Membantu Saya Mengatasi Perasaan Ini?

Saya Berasa Bersalah​—Dapatkah Bible Membantu Saya Mengatasi Perasaan Ini?

Jawapan Bible

 Ya. Bible dapat membantu kita menangani perasaan bersalah. (Mazmur 32:1-5) Jika kita pernah melakukan sesuatu yang salah dan betul-betul bertaubat, Tuhan akan mengampuni kita dan membantu kita pulih. (Mazmur 86:5) Bible menunjukkan bahawa ada kalanya perasaan bersalah membawa manfaat. Contohnya, perasaan bersalah dapat mendorong kita untuk membetulkan kesilapan dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan itu. (Mazmur 51:17; Amsal 14:9) Namun, Bible menasihati kita agar menghindari perasaan bersalah yang melampau, yang mungkin membuat kita berasa bahawa kita tiada harapan atau tidak berguna di mata Tuhan. Jika kita mempunyai perasaan seperti itu, kita mungkin menjadi “terlalu sedih sehingga putus asa.”—2 Korintus 2:7.

 Apakah yang menyebabkan perasaan bersalah?

 Ada beberapa sebab mengapa kita berasa bersalah. Kita mungkin sedar bahawa kita telah menyakiti hati orang yang kita kasihi atau kita gagal melakukan sesuatu yang kita rasa patut dilakukan. Kadangkala, kita mungkin berasa bersalah padahal sebenarnya kita tidak bersalah. Contohnya, jika kita menetapkan standard yang terlalu tinggi bagi diri sendiri, kita mungkin akan berasa bersalah setiap kali kita gagal mencapai standard itu. Itulah sebabnya Bible menggalakkan kita untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap diri sendiri.​—Pengkhutbah 7:16.

 Bagaimanakah saya dapat menangani perasaan bersalah?

 Daripada dibanjiri perasaan bersalah, lakukanlah apa yang terdaya untuk membetulkan kesilapan anda. Bagaimana?

  •   Mengakui kesilapan anda. Berdoalah meminta pengampunan daripada Tuhan Yehuwa. a (Mazmur 38:18; Lukas 11:4) Jika anda bertaubat dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan anda, anda dapat pasti bahawa Tuhan akan mendengar doa anda. (2 Tawarikh 33:13; Mazmur 34:18) Dia dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh manusia, iaitu hati dan batin seseorang. Apabila Tuhan melihat kita berusaha meninggalkan haluan yang salah, Dia “akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala yang jahat, kerana Dia setia dan adil.”—1 Yohanes 1:9; Amsal 28:13.

     Sudah tentu, jika anda telah berbuat salah terhadap seseorang, anda perlu mengakui kesilapan anda dan meminta maaf dengan ikhlas daripada orang itu. Hal itu tidak mudah kerana keberanian dan kerendahan hati diperlukan. Namun, jika anda meminta maaf dengan ikhlas, anda akan meraih dua manfaat yang besar: Anda akan berasa lebih lega, dan anda akan dapat berdamai dengan orang itu.—Matius 3:8; 5:23, 24.

  •   Merenungkan ayat-ayat Bible tentang belas kasihan Tuhan. Sebagai contoh, di 1 Yohanes 3:19, 20, Bible mengakui bahawa “hati kita mungkin menyalahkan kita.” Maksudnya, kita mungkin terlalu tegas terhadap diri sendiri dan berasa bahawa kita tidak layak dikasihi Tuhan. Namun, ayat yang sama juga menyatakan bahawa “Tuhan lebih besar daripada hati kita.” Bagaimana? Dia mengetahui segalanya tentang kita dan memahami sepenuhnya perasaan dan kelemahan kita. Dia juga sedar bahawa kita tidak sempurna dan cenderung berbuat salah. b (Mazmur 51:5) Oleh itu, Dia tidak menolak orang yang betul-betul bertaubat.—Mazmur 32:5.

  •   Janganlah asyik memikirkan kesilapan lampau. Bible mengandungi banyak kisah lelaki dan wanita yang pernah berbuat jahat, tetapi kemudiannya mengubah haluan hidup mereka. Salah satu contoh ialah Saulus dari Tarsus, yang kemudiannya dikenali sebagai Rasul Paulus. Semasa dia seorang Farisi, dia menganiaya pengikut Yesus dengan kejam. (Kisah 8:3; 9:1, 2, 11) Tetapi apabila dia sedar bahawa dia sebenarnya sedang menentang Tuhan dan Mesias, atau Kristus, dia bertaubat, mengubah haluannya, dan menjadi seorang Kristian yang patut dicontohi. Sudah tentu, Paulus amat menyesali perbuatannya, tetapi dia tidak asyik memikirkan kesilapannya yang lampau. Paulus sedar betapa besar belas kasihan Tuhan terhadapnya. Oleh itu, Paulus menjadi seorang penginjil yang bersemangat dan dia sentiasa bertumpu kepada harapan hidup abadi.—Filipi 3:13, 14.

 Ayat-ayat Bible tentang perasaan bersalah dan pengampunan

 Mazmur 51:17: “Ya Tuhan, Engkau tidak akan menolak hati yang remuk dan sesal.”

 Maksud: Jika anda betul-betul menyesal kerana telah menyakiti hati Tuhan, Dia tidak akan menolak anda. Dia akan menunjukkan belas kasihan.

 Amsal 28:13: “Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya, tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.”

 Maksud: Jika kita mengakui dosa kita kepada Tuhan dan mengubah haluan kita, Dia akan mengampuni kita.

 Yeremia 31:34: “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan Aku tidak akan mengingat dosa mereka.”

 Maksud: Setelah Tuhan mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengungkit hal itu lagi. Dia mengampuni dengan ikhlas.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.​—Keluaran 6:3.

b Sifat kita yang cenderung untuk berbuat salah adalah akibat dosa yang kita warisi daripada manusia pertama, iaitu Adam. Bersama isterinya, Hawa, dia berdosa terhadap Tuhan, lalu kehilangan kehidupan yang sempurna bagi dirinya dan semua keturunannya.—Kejadian 3:17-19; Roma 5:12.