Lompat ke kandungan

Apakah Rupa Yesus?

Apakah Rupa Yesus?

Jawapan Bible

 Oleh sebab Bible tidak menggambarkan rupa fizikal Yesus, tiada seorang pun tahu tentang rupa sebenarnya. Hal ini menunjukkan bahawa rupa fizikal Yesus tidak begitu penting. Namun, secara amnya, Bible memberi kita serba sedikit gambaran tentang rupa Yesus.

  •   Ciri-ciri: Yesus ialah orang Yahudi dan mungkin mewarisi sifat-sifat Semitik daripada ibunya. (Ibrani 7:​14) Ciri-ciri fizikal Yesus mungkin tidak begitu menonjol. Pada suatu ketika, dia dapat bertolak dari Galilea ke Yerusalem tanpa disedari orang. (Yohanes 7:​10, 11) Tambahan pula, rupa Yesus juga tidak menonjol dalam kalangan pengikut-pengikutnya yang paling rapat. Ingatlah bahawa Yudas Iskariot harus memperkenalkan Yesus kepada orang ramai yang ingin menangkapnya.​—Matius 26:47-​49.

  •   Kepanjangan rambut: Barangkali, Yesus tidak mempunyai rambut yang panjang kerana Bible mengatakan bahawa ‘rambut yang panjang merupakan satu kehinaan bagi seorang lelaki.’​—1 Korintus 11:14.

  •   Janggut: Yesus mempunyai janggut. Dia mengikut hukum orang Yahudi, yang melarang lelaki dewasa daripada ‘menggunting hujung janggut mereka.’ (Imamat 19:27; Galatia 4:4) Tambahan pula, Bible ada menyebut tentang janggut Yesus dalam satu nubuat mengenai penderitaannya.​—Yesaya 50:6.

  •   Badan: Semua bukti menunjukkan bahawa Yesus kuat dan sihat secara fizikal. Yesus mengadakan perjalanan yang jauh semasa melakukan aktiviti penyebaran. (Matius 9:​35) Dia membersihkan Rumah Tuhan sebanyak dua kali dengan menterbalikkan meja para penukar wang, dan pernah sekali mengusir ternakan dengan menggunakan cemeti. (Lukas 19:45, 46; Yohanes 2:​14, 15) Cyclopedia McClintock dan Strong menyatakan: “Seluruh kisah penginjilan [Yesus] menunjukkan bahawa tubuh badannya sihat dan kuat.”​—Jilid 4, muka surat 884.

  •   Raut wajah: Yesus ialah seorang yang peramah dan berbelas kasihan, dan sifat tersebut dapat dilihat daripada wajahnya. (Matius 11:28, 29) Orang dari pelbagai latar belakang datang kepada Yesus untuk memperoleh kelegaan dan bantuan. (Lukas 5:​12, 13; 7:​37, 38) Kanak-kanak pun berasa selesa dengan Yesus.​—Matius 19:13-​15; Markus 9:​35-​37.

Tanggapan yang salah mengenai rupa Yesus

 Tanggapan yang salah: Sesetengah orang berpendapat bahawa Yesus adalah keturunan Afrika kerana buku Wahyu membandingkan rambutnya dengan bulu biri-biri dan kakinya “seperti tembaga tulen.”​—Wahyu 1:​14, 15.

 Kebenaran: Buku Wahyu disampaikan dalam “bentuk lambang.” (Wahyu 1:1) Dengan menggunakan bahasa kiasan, gambaran tentang rambut dan kaki Yesus menjelaskan sifat-sifat Yesus selepas pembangkitannya, dan bukan rupa fizikalnya semasa dia berada di bumi. Wahyu 1:​14 menyatakan tentang Yesus bahawa “kepala dan rambutnya sangat putih, seputih salji.” Ayat ini bukan membandingkan tekstur rambut Yesus dengan bulu biri-biri atau salji. Sebaliknya, warna rambut Yesus yang putih merujuk kepada hikmat yang dimilikinya kerana faktor usia. (Wahyu 3:​14) Jadi, ayat ini menggunakan warna sebagai perbandingan dan bukannya merujuk kepada tekstur rambutnya.

 Kaki Yesus kelihatan “seperti tembaga tulen yang bernyala dalam relau api.” (Wahyu 1:​15) Tambahan pula, mukanya “terang seperti matahari yang memancar dengan terik.” (Wahyu 1:​16) Tiada bangsa yang mempunyai warna kulit yang sepadan dengan gambaran tersebut. Oleh itu, penglihatan ini merupakan lambang bahawa Yesus telah dibangkitkan dan “tinggal dalam cahaya yang tidak boleh didekati oleh sesiapa pun.”​—1 Timotius 6:​16.

 Tanggapan yang salah: Yesus adalah lemah dan tidak bermaya.

 Kebenaran: Yesus ialah seorang lelaki yang sejati. Sebagai contoh, dia berani memperkenalkan dirinya kepada orang ramai yang bersenjata yang datang untuk menangkapnya. (Yohanes 18:​4-8) Memandangkan Yesus bekerja sebagai seorang tukang kayu dengan menggunakan peralatan tangan, dia semestinya seorang yang kuat secara fizikal.​—Markus 6:3.

 Mengapakah Yesus memerlukan bantuan untuk mengangkat tiang seksaannya? Mengapakah dia meninggal lebih awal daripada orang yang dihukum mati bersamanya? (Lukas 23:26; Yohanes 19:31-​33) Sebelum Yesus dihukum mati, tubuhnya menjadi sangat lemah. Dia tidak dapat tidur sepanjang malam kerana mengalami tekanan emosi yang berat. (Lukas 22:42-​44) Pada malam itu, orang Yahudi telah menganiayanya, dan orang Roma telah menyeksanya pada keesokan pagi. (Matius 26:67, 68; Yohanes 19:​1-3) Faktor-faktor tersebut mungkin menyebabkan Yesus meninggal dengan lebih awal.

 Tanggapan yang salah: Yesus sentiasa muram dan murung.

 Kebenaran: Bible menggambarkan Yehuwa sebagai “Tuhan yang gembira,” dan Yesus mencerminkan sifat-sifat Bapanya di syurga dengan sempurna. (1 Timotius 1:​11; Yohanes 14:9) Malah, Yesus mengajar orang lain cara untuk memperoleh kebahagiaan. (Matius 5:​3-9; Lukas 11:28) Fakta-fakta tersebut menunjukkan bahawa raut wajah Yesus sering kali kelihatan gembira.