Lompat ke kandungan

Todd Aki/Moment Open via Getty Images

SIAPAKAH PEREKANYA?

Sistem Penapisan Ikan Pari Manta

Sistem Penapisan Ikan Pari Manta

 Ikan pari manta berenang di dalam lautan dengan mulut yang terbuka untuk menangkap plankton yang menjadi sumber makanan utamanya. Air laut yang kaya dengan plankton akan memasuki mulut dan langgar penapis, lalu plankton akan melantun dan masuk ke dalam kerongkong ikan pari manta. Plankton yang lebih halus dan kecil daripada celah-celah penapis juga dapat disalurkan ke dalam kerongkong. Kemudian, air pula terus bergerak melalui penapis dan disingkirkan melalui insang ikan pari manta. Mengenai sistem penapisan ikan pari manta, seorang wartawan sains yang bernama Ed Yong menulis bahawa proses ini “sepatutnya sesuatu yang mustahil dilakukan.”

 Fikirkan: Sistem penapisan ikan pari manta kelihatan seperti lima lengkung yang menyerupai sikat yang mempunyai gigi pada kedua-dua sisi. Sesetengah “gigi sikat” condong ke depan dan ada yang condong ke belakang. Rekaan ini akan menyebabkan aliran air terpisah. Sebahagian air akan terus mengalir di atas dan sebahagian lagi mengalir di antara celah-celah penapis, lalu menghasilkan pusaran air.

 Plankton atau makanan yang kecil akan melantun pada hujung “gigi sikat” lalu kembali ke arus air yang menuju ke dalam kerongkong. Tetapi bahkan plankton yang lebih kecil daripada celah penapis juga tidak akan terlepas. Hal ini kerana pusaran air yang terhasil mempercepatkan pergerakan plankton supaya plankton dapat melantun ke saluran air yang menuju ke dalam kerongkong. Hasilnya, ikan pari manta dapat makan benda-benda yang sangat kecil oleh kerana adanya sistem penapisan ini.

 Tambahan lagi, tidak kira berapa laju ikan pari manta berenang atau berapa banyak plankton yang ada dalam air, sistem penapisannya mempunyai keupayaan untuk membersihkan diri dan mengelak daripada tersumbat.

 Para penyelidik berharap dapat menggunakan rekaan sistem penapisan ikan pari manta untuk mencipta penapis yang dapat membersihkan sisa air buangan dan memerangkap mikroplastik (cebisan kecil plastik).

 Apakah pandangan anda? Adakah sistem penapisan ikan pari manta wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?