Lompat ke kandungan

Albert Wright/iStock via Getty Images

SIAPAKAH PEREKANYA?

Sarang Burung Mallee

Sarang Burung Mallee

 Burung mallee biasanya terdapat di bahagian selatan Australia. Tidak kira pada waktu siang atau malam, burung ini dapat memastikan suhu sarangnya kekal pada kadar lebih kurang 34 darjah Celsius. Bagaimanakah burung ini dapat melakukannya sepanjang tahun?

 Setiap musim sejuk, burung ini membuat sarang dengan mengorek lubang yang dalamnya satu meter dan lebarnya tiga meter. Kemudian, burung mallee jantan mengisinya dengan daun dan rumput sehingga menjadi satu timbunan. Setelah timbunan itu dibasahi hujan, burung mallee jantan akan mengorek lubang di dalamnya untuk menyimpan telur. Kemudian, seluruh kawasan itu akan ditutupi dengan tanah berpasir. Apabila daun dan rumput mula mereput, haba yang terhasil akan mewujudkan suhu yang sesuai untuk telur menetas.

Untuk memastikan telur dapat menetas (A), burung mallee menggunakan haba matahari dan haba daripada proses pereputan bahan kompos (B). Dengan menambah atau mengurangkan pasir (C), suhu sarang dan telur dapat kekal pada kira-kira 34 darjah Celsius selama berbulan-bulan. Burung mallee menggunakan cakarnya untuk melakukan kerja ini (D)

 Setiap kali burung betina bersedia untuk bertelur, burung jantan akan mengeluarkan pasir dari sarangnya supaya telur dapat disimpan di dalam lubang itu. Kemudian, burung jantan akan menutup busut itu dengan pasir lagi. Burung betina dapat menghasilkan sebanyak 35 biji telur antara bulan September hingga Februari. a

 Burung mallee kerap kali memasukkan paruhnya ke dalam pasir untuk memeriksa suhu sarang. Kemudian, burung mallee akan menstabilkan suhu busut mengikut perubahan musim. Contohnya:

  •   Pada musim bunga, proses pereputan menjadi aktif dan menyebabkan suhu sarang meningkat. Maka, burung mallee jantan akan membuang pasir daripada busut itu supaya haba dapat dibebaskan. Kemudian, setelah pasir itu menjadi sejuk, burung mallee jantan akan menutupi sarang itu semula dengan pasir.

  •   Pada musim panas, burung mallee jantan menambah pasir kepada busut supaya telur dilindungi daripada sinaran matahari yang terik. Namun, pada awal pagi, burung jantan akan membuang pasir itu. Selepas sarang dan pasir itu menjadi sejuk, burung jantan akan menambahkan pasir semula kepada busut.

  •   Pada musim luruh, selepas proses pereputan berakhir, burung jantan akan membuang hampir semua pasir supaya sinaran matahari dapat memanaskan telur dan pasir. Kemudian, sarang itu akan ditutupi semula dengan pasir tersebut. Dengan berbuat demikian, sarang itu akan kekal hangat pada waktu malam.

 Secara purata, burung mallee jantan bekerja lebih daripada lima jam setiap hari untuk memindahkan kira-kira 850 kilogram pasir. Oleh sebab pasir sering dipindahkan, ini membawa satu lagi manfaat, iaitu pasir yang menutupi sarang sentiasa longgar. Maka, selepas telur menetas, anak burung mallee dapat keluar dari busut itu dengan mudah.

 Lihatlah burung mallee membuang pasir dari sarangnya

 Apakah pandangan anda? Adakah keupayaan burung mallee untuk mengawal suhu sarangnya wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?

a Telur burung mallee mengambil masa tujuh hingga lapan minggu untuk menetas. Maka, burung jantan harus memastikan suhu sarang tetap stabil sehingga bulan April.