Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Mengapakah Gambaran Media Massa Perlu Ditolak?​—Bahagian 1: Untuk Gadis

Mengapakah Gambaran Media Massa Perlu Ditolak?​—Bahagian 1: Untuk Gadis

 Apakah itu gambaran media massa?

 Lihatlah senarai di bawah. Kemudian jawablah soalan-soalan yang berikut:

 Senarai 1

 Senarai 2

 Tidak matang

 Bertanggungjawab

 Suka memberontak

 Patuh

 Tidak bermoral

 Berakhlak mulia

 Berfikiran cetek

 Pandai

 Suka mengumpat

 Bijaksana

 Suka menipu

 Jujur

  1.   Perkataan manakah yang menggambarkan gadis-gadis remaja yang kamu lihat dalam filem, TV, atau majalah?

  2.   Perkataan manakah yang menggambarkan bagaimana kamu ingin dikenali?

 Barangkali kamu memilih senarai 1 sebagai jawapan kamu bagi soalan pertama, dan senarai 2 bagi soalan kedua. Hal ini bererti bahawa kamu ingin menjadi lebih baik daripada gadis remaja yang biasanya digambarkan dalam media massa. Banyak gadis lain juga berfikiran seperti kamu. Marilah kita melihat pandangan mereka.

 “Gadis remaja dalam filem selalunya bersikap buruk dan suka memberontak. Hal ini memberikan gambaran bahawa semua gadis remaja tidak dapat dipercayai, berfokus kepada penampilan, dan suka membesar-besarkan hal yang kecil.”​—Erin.

 “Gadis-gadis dalam filem dan TV biasanya suka menarik perhatian orang lain dan terlalu berfokus kepada penampilan, pakaian, dan lelaki.”​—Natalie.

 “Jarang kamu melihat gadis yang ‘popular’ tidak minum arak, tidak melakukan hubungan seks, dan tidak memberontak terhadap ibu bapanya. Apabila seorang gadis tidak melakukan hal-hal ini, gadis itu akan digambarkan sebagai gadis yang alim atau kolot.”​—Maria.

 Tanyalah diri, “Adakah pakaian, kelakuan, dan tutur kata saya mencerminkan diri saya yang sebenarnya? Atau adakah saya hanya meniru remaja yang digambarkan dalam media massa?”

 Apa yang perlu kamu ketahui

  •   Banyak gadis berfikir bahawa mereka sedang membentuk identiti sendiri, tetapi mereka sebenarnya hanya mengikut identiti yang telah disuapkan oleh media massa kepada mereka. “Hal ini berlaku kepada adik perempuan saya,” kata seorang gadis yang bernama Karen. “Adik saya berpura-pura tidak mempedulikan hal-hal lain kecuali penampilannya dan budak lelaki. Dia sebenarnya seorang yang pintar, tetapi dia berlagak bodoh kerana ingin menjadi seperti ‘gadis-gadis lain.’ Dia baru berumur 12 tahun!”

     Bible menyatakan, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.”​—Roma 12:2.

  •   Gambaran media massa tidak mencerminkan apa yang diingini oleh semua gadis remaja. “Media massa menggambarkan gadis remaja sebagai orang yang mementingkan diri, tidak berakal, dan kebudak-budakan. Tetapi saya berasa bahawa sebenarnya, banyak gadis dapat membuat keputusan yang bijak. Ada banyak hal yang dapat kami lakukan selain berkhayal tentang seorang jejaka yang tampan,” kata Alexis yang berumur 15 tahun.

     Bible menyatakan, ‘Orang matang mempunyai daya penilaian yang sudah terlatih, dan dapat membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’​—Ibrani 5:14.

  •   Gambaran media massa dibentuk untuk menjual barangan, bukannya untuk membantu gadis remaja. Ahli-ahli perniagaan dalam bidang media cetak, fesyen, teknologi, dan hiburan, sedar bahawa mereka dapat mengaut banyak keuntungan daripada orang muda. Maka mereka menjadikan orang muda yang belum mencapai usia remaja sebagai sasaran pemasaran mereka. Buku 12 Going on 29 menyatakan, “Banyak iklan menunjukkan bahawa jika anak-anak muda tidak memiliki pakaian, perhiasan, alat solek, dan alat elektronik yang terkini, mereka tidak popular. Sebelum anak-anak muda memahami apa itu godaan seks, mereka sudah biasa melihatnya dalam iklan-iklan.”

     Bible menyatakan, “Segala sesuatu di dalam dunia ini, iaitu keinginan tubuh yang berdosa, keinginan mata, dan sikap suka menunjuk-nunjukkan harta milik sendiri, tidak berasal daripada Bapa, tetapi berasal daripada dunia.”​—1 Yohanes 2:​16.

 Cuba renungkan: Jika kamu suka memakai pakaian yang berjenama, siapakah yang paling untung? Jika kamu ingin menjadi popular dan membeli telefon bimbit yang terkini, siapakah yang paling untung? Ahli perniagaan lebih mementingkan kamu atau keuntungan mereka?

 Apa yang dapat kamu lakukan

  •   Jangan mudah tertipu dengan gambaran yang diberikan oleh media massa tentang gadis remaja. Seraya kamu meningkat dewasa, kamu akan tahu bahawa kamu tidak patut menilai sesuatu hanya daripada penampilan luarannya. Fikirkanlah bagaimana gambaran media massa mempengaruhi kamu. “Gadis remaja yang biasanya digambarkan dalam media massa memakai lebih banyak make up daripada pakaian,” kata Alana yang berusia 14 tahun, “dan banyak remaja tidak sedar bahawa penampilan sedemikian tidak menarik. Mereka sebenarnya kelihatan seperti gadis murahan.”

  •   Tetapkan matlamat, dan jadilah orang yang kamu ingini. Contohnya, ingat kembali sifat-sifat yang disenaraikan pada permulaan rencana ini, iaitu sifat-sifat yang kamu ingin pupuk. Cubalah pupuk sifat-sifat itu dalam diri kamu, atau jika kamu sudah mempunyai sifat-sifat itu, cubalah untuk menunjukkannya dengan lebih baik. Bible menyatakan, “Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu, yang diperbaharui melalui pengetahuan yang tepat dan menurut gambaran Dia yang menciptakannya.” Ya, biarlah Tuhan yang membentuk keperibadian kamu, dan bukannya media massa.​—Kolose 3:​10.

  •   Carilah teladan yang baik. Kamu dapat meniru teladan baik yang diberikan oleh ahli keluarga kamu, seperti ibu atau mak cik kamu. Kamu juga dapat meniru teladan baik yang diberikan oleh kawan atau saudari matang yang lain. Dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa, terdapat banyak wanita Kristian yang merupakan teladan yang baik.​—Titus 2:​3-5.

 Cadangan: Buku Tirulah Iman Mereka mengandungi banyak contoh wanita yang baik yang dapat dijadikan teladan, seperti Rut, Hana, Abigail, Ester, Maria, dan Marta. Buku Tirulah Iman Mereka diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan boleh dimuat turun di www.isa4310.com/ms.